Kerajaan rancang kaedah terbaik bina penginapan pekerja asing - Utusan Malaysia

Kerajaan rancang kaedah terbaik bina penginapan pekerja asing

V. SIVAKUMAR (dua dari kanan) merasmikan Simposium Keharmonian Perusahaan Negeri Perak di Meru, Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan merancang kaedah terbaik untuk membina penempatan pekerja terutama pekerja asing di kawasan perkilangan.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, ini bagi memastikan peruntukan di bawah Akta 446 berkaitan penginapan minimum terutama kepada pekerja asing dilaksana oleh majikan.

“Sebelum pekerja asing datang ke negara ini, kerajaan hendak pastikan majikan menyediakan penginapan yang sesuai untuk mereka.

“Kementerian melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) juga sentiasa memastikan majikan menyediakan tempat penginapan yang sesuai.

“Kerajaan juga merancang kaedah-kaedah lain untuk membina penempatan di kawasan perkilangan supaya masalah penginapan pekerja asing dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Banyak inisiatif yang telah diambil oleh kementerian dan KSM untuk memastikan penginapan yang diberikan kepada pekerja adalah dalam keadaan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Simposium Keharmonian Perusahaan Negeri Perak 2023 di sini hari ini.

Sementara itu, Sivakumar berkata, kerajaan menyasarkan tahap Indeks Keharmonian Perusahaan (IHI) melebihi 90 peratus pada masa hadapan.

Menurutnya, setakat ini, Perak mencapai skor tertinggi pada tahun 2022 dengan nilai tahap IHI 82.6 peratus.

“Ini menunjukkan peningkatan dari tahun 2020 yang mana IHI Perak pada ketika itu pada tahap IHI 80.3 peratus.

“Tahap IHI ini penting kerana ia boleh dijadikan panduan untuk mengukur dan menentukan tahap keharmonian perusahaan supaya dapat menarik pelabur asing,” katanya.

Katanya, lima kriteria yang diguna pakai untuk mengukur tahap IHI iaitu kerjasama antara pekerja dan majikan, hubungan yang saling berdamai , bertanggungjawab, keterhubungan dan saling memerlukan.

Menurutnya, sektor perladangan dan pertanian menyumbang jumlah peratusan yang tinggi tahap IHI kerana sektor tersebut perlu mematuhi ‘Di Meja Bulat Minyak Sawit Lestari’ (RSPO).

“Hasil kajian, sektor perladangan ataupun pertanian adalah sektor yang tertinggi tahap IHI, ini mungkin dikaitkan juga bahawa sektor perladangan mempunyai RSPO yang perlu dipatuhi mengikut standard antarabangsa kerana kita negara pedagang yang jual hasil komoditi minyak sawit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN