Kerajaan Perpaduan beri jaminan beri keutamaan peluang kerja  - Utusan Malaysia

Kerajaan Perpaduan beri jaminan beri keutamaan peluang kerja 

AHMAD Zahid Hamidi ketika berucap pada Himpunan Lestari Belia Lestari Generasi Unggul (LesGu), di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Kerajaan Perpaduan memberi jaminan akan memberikan keutamaan dan peluang kerja kepada golongan belia di negeri ini sekiranya dapat mengambil alih pemerintahan negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, golongan belia berusia 15 hingga 30 tahun merupakan aset penting negara dan tidak boleh dipinggirkan serta perlu digilap bagi melahirkan generasi yang berkualiti. 

“Saya yakin jika pentadbiran kerajaan negeri Terengganu berubah, selepas 12 Ogos ini, saya akan pastikan pemimpin yang akan ambil alih pentadbiran akan beri keutamaan kepada golongan belia untuk diberikan peluang kerjaya. 

“Jangan ketepikan belia. Bukan hanya bakat belia harus digilap, malah belia juga perlu diberi peluang untuk menuntut ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Lestari Belia Lestari Generasi Unggul (LesGu), di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, di sini, hari ini. 

Ahmad Zahid berkata, manifesto yang dijanjikan kerajaan itu untuk PRN kali ini juga telah mengambil kira manfaat kepada golongan tersebut. 

Menurutnya, belia di negeri ini telah banyak mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang terutamanya pendidikan dan sukan hasil dokongan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu. 

“Bagaimanapun, kepimpinan kerajaan negeri hari ini (bawah pimpinan Pas) tiada kesungguhan untuk memperkukuhkan pencapaian tersebut,” katanya. 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Menteri Desa dan Wilayah berkata, kementeriannya telah meluluskan sebanyak RM149.3 juta untuk projek pembangunan infrastruktur di negeri ini. 

Menurutnya, peruntukan itu melibatkan lima projek iaitu sebanyak RM26.3 juta diperuntukkan untuk membina jalan baru dari Bukit Kor ke Medan Jaya, Marang. 

“Sebanyak RM40 juta pula diperuntukkan untuk membina jalan baru dari Kampung Tok Molor ke Kampung Gong Pipit, Kuala Terengganu. 

“Selain itu, sebanyak RM58 juta diluluskan untuk membina jalan dari Kampung Tok Kah ke Kampung Bukit Murai, Dungun serta RM10 juta untuk menaiktaraf jalan tuju dan penggantian jambatan di Kampung Tok Nandong, Setiu,” katanya 

Ahmad Zahid berkata, selain itu sebanyak RM5 juta turut diperuntukkan untuk membina sistem retikulasi bekalan air luar bandar (BALB) di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya