IDAHO: Penyanyi, Kelsea Ballerini nyaris parah apabila seutas gelang yang dilempar penonton terkena matanya ketika membuat persembahan dekat Idaho Botanical Garden di sini, baru-baru ini.
Ballerini, dalam kejadian itu, terpaksa memberhentikan persembahannya sebelum beredar ke belakang pentas.
Bagaimanapun, penyanyi tersebut, selepas berehat sebentar, kembali menyambung nyanyian untuk menghabiskan persembahannya.
“Saya mahu bercakap tentang apa yang berlaku tadi. Harapnya semua selamat. Jika anda tidak merasa selamat, maklumkan kepada orang sekeliling.
“Jika anda berasa tidak selamat apabila ada yang bertolak-tolak, maklumkan. Dan tolong jangan buang barang ke atas pentas,” katanya.
Dalam pada itu, Ballerini menerusi Instagram memaklumkan tidak mengalami cedera selepas insiden berkenaan.
“Saya baik-baik sahaja. Ada yang membaling gelang dan terkena mata saya. Keadaan itu lebih menakutkan daripada menyakitkan,” tulisnya.
Ballerini antara artis yang diserang ketika membuat persembahan. Pada 19 Jun lalu, penyanyi Bebe Rexha cedera selepas kepalanya terkena telefon bimbit yang dibaling penonton.
Bebe dikejarkan ke hospital sementara pelaku berjaya ditahan pihak berkuasa.