KUALA LUMPUR: Kemelut di antara pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin dan bekas madunya, Ira Kazar berakhir aman selepas Mahkamah Sesyen di sini merekodkan penghakiman persetujuan kedua-dua pihak.
Peguam, Puteri Ummi Kartini Abd. Latif yang mewakili Puteri Sarah selaku plaintif memaklumkan perkara itu kepada media selepas tamat prosiding yang dijalankan secara dalam talian di hadapan Hakim Morakhmar Mohd. Sani.
Turut serta pada prosiding tersebut ialah peguam, Ammar Ghalip yang mewakili Ira atau nama sebenarnya, Faghira Fatini Kazaruddin.
Pada Jun 2022, Puteri Sarah, 38, memfailkan saman terhadap Ira atas dakwaan mengganggu rumah tangganya. Turut dinamakan ialah kakak bekas madunya, Yasmin dan bapa mereka, Kazar atau nama penuhnya Kazaruddin Saisi.
Kes itu sepatutnya mula dibicarakan pada Ogos ini.
Pada 14 Jun lalu, Puteri Sarah dan pengarah filem, Syamsul Yusof sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Pada hari tersebut, pasangan terbabit juga bersetuju untuk menyelesaikan segala pertelingkahan di antara mereka termasuk kes saman terhadap keluarga mentua baharu Syamsul.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam, Azmi Mohd. Rais yang mewakili Syamsul namun memaklumkan beliau tidak mendedahkan terma-terma penyelesaian.
“Penyelesaian secara global (menyeluruh). Tiada dakwa-dakwa lagi antara kedua-dua belah pihak maknanya perjanjian (penyelesaian) menyeluruh.. ya termasuk sivil,” kata peguam syarie itu yang turut disahkan oleh peguam syarie, Datuk Akberdin Abd Kader yang mewakili Puteri Sarah.
Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul, 38, atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, membuat pengakuan melalui video di Instagram bahawa dia sudah bernikah dengan Ira di Thailand berwalikan bapa mentuanya, Kazar. – UTUSAN