KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukan siapa pengganti kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub bagi menerajui kementerian itu.
Timbalannya, Fuziah Salleh berkata, beliau yakin Perdana Menteri akan membuat pilihan terbaik bagi mengisi kekosongan tersebut.
“Saya selaku timbalannya memberi komitmen tinggi untuk meneruskan usaha Allahyarham Salahuddin,” katanya kepada pemberita sempena Program Outreach Sara Hidup di Bawah Inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai Pelajar Tingkatan Enam Aliran Agama Kelantan di sini hari ini.
Seramai 240 pelajar tingkatan enam dan pelajar Kolej Vokasional menerima bantuan tersebut.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram disahkan meninggal dunia pada 23 Julai lalu akibat pendarahan otak. – UTUSAN










