KOTA BHARU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia bertemu dengan mana-mana persatuan mahupun kelab belia yang berdepan dengan isu ‘persatuan lesu’ membabitkan kekurangan ahli.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, pertemuan berkenaan bagi membincangkan perkara-perkara seperti sumber mahupun sebarang aktiviti persatuan yang boleh dibantu oleh pihak KBS.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini isu berkenaan bukan satu perkara yang membimbangkan memandangkan golongan belia dan persatuan belia ketika ini dilihat sangat aktif.
“Lesu atau tidak (persatuan) kita tidak tahu kayu ukur macam mana dan sekiranya ada isu kelesuan berkenaan, boleh bawa ke meja perbincangan supaya kita boleh bantu dari segi sumber mahupun aktiviti seperti Rakan Muda serta Program Sekolah Rukun Negara yang baru dilancarkan.
“Jadi kita boleh lihat banyak aktiviti yang telah dijalankan oleh kerajaan dengan melibatkan golongan belia. Lesu ini kalau tidak bergerak tetapi sekarang kita bagi banyak platform untuk bergerak,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Pencegahan Lemas Sedunia Peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Tahun 2023 di Kelantan Golf and Country Club, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, pihaknya sangat menggalakkan penglibatan golongan belia serta persatuan terutama majlis belia di peringkat negeri.
Katanya, persatuan anak-anak muda sama ada bergabung dengan Majlis Sukan Negara (MSN) atau tidak, selain persatuan yang sepenuhnya terlibat dengan kerajaan mahupun yang bergerak sendiri mempunyai peranan masing-masing dalam masyarakat. – UTUSAN










