MELAKA : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan kutipan cukai berjumlah RM53 bilion mampu dicapai menjelang hujung tahun ini kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurutnya, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan prestasi kutipan cukai bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini memperoleh sebanyak RM26.6 bilion.
Beliau berkata, cukai yang berjaya dikutip pada suku pertama tahun ini jauh lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu sebanyak RM25 bilion.
“Saya ingin ucapkan tahniah kepada JKDM kerana prestasi yang cukup memberangsangkan berdasarkan kutip cukai sebanyak RM26.6 bilion pada enam bulan pertama tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu.
“Saya harap menjelang hujung tahun ini kutipan cukai mampu mencapai sasaran yang diletakkan sasaran sebanyak RM53 bilion,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kursus Integriti Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) dengan Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) dan Pejabat Serantau bagi Pembangunan Kapasiti (ROCB) di AKMAL Bukit Baru yang turut dihadiri Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Ahmad berkata, pencapaian memberangsangkan itu adalah berdasarkan prestasi kegigihan anggota dan pegawai JKDM dapat melaksanakan tanggungjawab mereka.
Menurutnya, walaupun tidak ada sebarang cukai baharu diperkenalkan tetapi kegigihan anggota agensi berkenaan bekerja lebih berkesan dan efektif antara pendorong pencapaian tersebut.
Dalam pada itu beliau berkata, AKMAL bakal diiktiraf sebagai akademi bertaraf dunia tidak lama lagi.
Menurutnya, hala tuju AKMAL berada pada landasan yang baik selepas mendapat pengiktirafan daripada WCO sebagai Pusat Latihan Serantau Regional Training Center bagi negara-negara Asia Pasifik.
“AKMAL telah dipilih untuk menganjurkan lapan program latihan melibatkan negara-negara rantau Asia Pasifik sepanjang tahun ini,” ujarnya.
Katanya, pengiktirafan itu melibatkan AKMAL di negeri ini; Langkawi; Tanjung Surat, Johor; Sarawak dan Sabah.
Jelasnya, ia membuktikan jabatan berkenaan mempunyai fasiliti yang cukup lengkap dan sebagai bukti WCO mampu mengiktiraf AKMAL antara pusat latihan terbaik di rantau Asia Pasifik.- UTUSAN