KUANTAN: “Memang abang ipar ada ajak saya pergi sekali berkhemah dan memancing di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, namun saya kata ada urusan dan tak boleh pergi.
“Sabtu lalu memang saya tak mahu keluar ke mana-mana, hendak duduk di rumah sahaja. Jadi saya cakap ada urusan. Kalau pergi, saya pun jadi mangsa.”
Demikian kata Mohd. Ismail Eiyi, 36, adik kepada Azizah, 40, yang ditemukan meninggal dunia ekoran tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Terengganu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ismail berkata, kakak dan abang iparnya, Karim Abdullah, 39, bergerak ke lokasi kejadian dari Felda Lepar Hilir 3 di sini Sabtu lalu untuk memancing dan berkhemah di situ.
“Abang ipar memang sudah biasa dengan kawasan tersebut sebab dia memang kerja di situ membawa jentera pengepit balak.
“Memang tak sangka kejadian ini berlaku, satu keluarga kakak dan abang ipar jadi mangsa, tapi apakan daya ia sudah ketentuan Ilahi,” katanya di sini semalam.
Berhubung urusan pengebumian, katanya, semua jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3 di sini dan mungkin dalam satu liang.
“Cumanya belum dapat dipastikan bila mereka akan dikebumikan sebab urusan pengecaman mayat masih dilakukan di Terengganu,” katanya. – UTUSAN










