BANDAR BAHARU: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mencabar pihak yang berkaitan untuk mengaktifkan semula akaun TikTok miliknya yang ‘hilang’ sejak semalam.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, perbuatan ‘drakonian’ atau kejam itu hanya akan menyebabkan orang ramai lebih membenci pihak yang terlibat.
“Dalam keadaan ‘perang’ (pilihan raya) ini mereka telah salah guna kuasa untuk mempengaruhi syarikat TikTok sekat TikTok saya sehingga tiada ruang untuk sampaikan (maklumat) dengan cepat kepada orang ramai.
“Kalau hampa anak jantan, buka balik akaun TikTok saya, kalau tak buka, hampa darai (pondan), kalau darai, tak payah lawan pi balik,” katanya pada Majlis Penyerahan Geran Tanah peringkat Daerah Bandar Baharu di sini.
Tambah Muhammad Sanusi, beliau dimaklumkan pegawainya telah membuka akaun TikTok baharu namun belum melihatnya buat masa ini.
“Ini zaman moden dan kerja yang hampa buat ini tahun 1963 bolehlah. Masa itu ceramah orang letak speaker di pokok getah dan kepitkan wayar di kepala bateri.
“Disebabkan dengki, cabut kepala bateri itu supaya maklumat orang tak dengar. Tetapi sekarang ini banyak jalan boleh diusahakan,” katanya.
Dalam pada itu, kesahihan bekas pemain bola sepak Sabah FC, Baddrol Bakhtiar yang diatakan akan menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah hanya akan terjawab pada 21 Julai ini ketika majlis pengumuman senarai calon di Kompleks Pas Kedah.
Muhammad Sanusi berkata, kesemua 36 calon PN akan diumumkan sendiri oleh beliau pada hari berkenaan.
“Saya jemput semua hadir untuk tahu siapa calon. Takkanlah nak terus lompat kepada pengakhiran, bagilah ada ‘thrill’ sikit. Saya akan umumkannya di sana nanti tapi yang pasti dalam senarai calon PN tak ada nama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” katanya. – UTUSAN










