Kadar tarif baharu Program GET berkuat kuasa 1 Ogos

Kadar tarif baharu Program GET berkuat kuasa 1 Ogos

NIK Nazmi Nik Ahmad bercakap dalam sidang akhbar mengenai Penambahbaikan Pelaksanaan Serta Penetapan Kadar Premium Baharu Program GET di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memutuskan tarif baharu bagi Program Tarif Elektrik Hijau (GET) ditetapkan pada kadar kadar 21.8sen/kWj (kilowatt jam) berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kadar baharu itu dibuat berdasarkan kepada penanda aras penetapan harga runcit bekalan elektrik hijau di negara jiran yang menawarkan produk yang sama.

Beliau berkata, kadar tarif premium GET sedia ada iaitu 3.7sen/kWj akan dikekalkan dari 1 hingga 31 Julai ini.

“Pengguna yang melanggan Program GET juga tidak akan dikenakan caj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) kerana penjanaan daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) tidak melibatkan penggunaan bahan api fosil.

“Oleh itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan melakukan penyesuaian terhadap bil elektrik bagi pengguna elektrik yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Selain itu, katanya, had kuota 30 peratus langganan GET sebelum ini dimansuhkan dan pelanggan boleh melanggan sehingga dan tidak melebihi 100 peratus keperluan tenaga.

Nik Azmi berkata, hasil kutipan daripada pelaksanaan Program GET ini akan digunakan untuk tujuan pembangunan dan peningkatan kapasiti baharu TBB dalam
sistem pembekalan elektrik negara.

Menurutnya, dengan ketetapan ini, kerajaan berharap agar pengguna akan mempunyai keyakinan lebih tinggi terhadap Program GET sekali gus meningkatkan kapasiti baharu TBB dalam pembekalan elektrik negara.

“Mengambil kira bahawa ketetapan baharu ini akan melibatkan peningkatan kepada kadar tarif premium GET sedia ada, pengguna sedia ada akan diberi tempoh sehingga 31 Julai ini untuk mengesahkan semula langganan.

“Pengguna yang tidak memberikan sebarang pemakluman akan ditamatkan langganan secara automatik dan penawaran semula kuota GET daripada pengguna yang tidak memperbaharui langganan akan dilakukan TNB melalui laman sesawangnya kepada mana-mana pengguna yang berminat.

“Pembaharuan atau langganan baharu program GET juga boleh dibuat melalui laman sesawang TNB atau dengan menghubungi Kedai-Kedai Tenaga TNB yang berhampiran,” katanya.

Katanya, Program GET yang dibuka untuk langganan pada Februari lalu dengan jumlah kuota 6,600GWj pada kadar tarif premium 3.7sen/kWj telah habis dilanggan oleh 2,361 pengguna dari kategori domestik, komersial dan industri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya