KUCHING: Dakwaan wujudnya perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa segelintir pegawai Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dibawa dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan turut membawa perbincangan tersebut bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengenai perkara ini, dan saya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandangkan Jabatan Imigresen ini di bawah kementerian berkenaan.
“Rabu minggu ini kita akan bawa perkara ini ke (mesyuarat) Kabinet dan sudah pasti beliau (Saifuddin) akan menjelaskan dan merujuk perkara ini di dalam mesyuarat Kabinet nanti,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan berlakunya perbuatan rasuah dalam kalangan pegawai Jabatan Imigresen di pintu masuk negara ini.
Tegas Ahmad Zahid lagi, isu seperti ini boleh diselesaikan melalui sistem pentadbiran negara yang baik sedia ada.
“Permasalahan yang begini saya fikir boleh diselesaikan dengan cara yang baik melalui sistem pentadbiran yang kita sedia ada,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing baru-baru ini mengesahkan beliau yang dimaksudkan memasuki balai ketibaan Terminal 1 lapangan terbang KLIA.
“Ya, sayalah… Saya juga berada di KLIA dan memutuskan untuk mengetahui apa yang berlaku di sana selepas menerima aduan.
“Ini adalah perkara biasa untuk kami (menteri) turun padang dan mengetahui keadaan sebenar.
“Saya bersyukur kehadiran saya di sana berjaya membongkar situasi yang memalukan negara, iaitu terdapat budaya rasuah dalam kalangan sebilangan pegawai serta penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk utama negara,” katanya.
Beliau menjelaskan, bahawa tidak mempunyai kuasa untuk membebaskan pelancong itu dan jika beliau berbuat demikian, ia merosakkan reputasinya sebagai seorang menteri.
Sehubungan itu, Tiong telah memanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memasuki KLIA dan menyiasat keadaan yang berlaku di sana.- UTUSAN