MUKADIMAH
PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mempertaruh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, JUWAIRIYA ZULKIFLI sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pengumuman Juwairiya sebagai calon PKR itu dibuat dalam sesi Majlis Pengumuman Calon Keadilan pada Sabtu lalu oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemilihan itu turut menyaksikan Juwairiya bakal merebut kerusi yang dijangka ditandingi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Bersama wartawan Utusan Malaysia, SITI ATHIRAH DZULKIFLY, beliau melahirkan keyakinan cukup tinggi untuk berdepan ahli politik terkenal itu yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor serta Kabinet Persekutuan.

Yang Berhormat (YB) dikatakan calon ‘last minute’ ditukar dengan YB Anfaal Saari daripada Amanah oleh Presiden Pakatan Harapan (PH). Apa yang boleh YB katakan melihat situasi ini?
Kita sebagai anggota dan pemimpin parti, akur dengan arahan Presiden parti kerana kita percaya pasti ada perancangan yang lebih besar. Ada aturan dan strategi yang lebih besar yang difikirkan terbaik untuk PH. Jadi, kita tiada pilihan selain untuk akur dan bekerja keras untuk menang.
Presiden PKR menyifatkan YB seorang tokoh yang berani dan berani berlawan. Boleh kongsikan pandangan mengenai perkara ini?
Mahu kata berani lawan itu, tidaklah. Tetapi, maksudnya, perjuangan saya cukup jelas dengan agenda dan perjuangan parti. Saya sudah berada dalam parti selama 14 tahun. Sejak dari muda, saya telah dididik dan ditarbiah dengan perjuangan Keadilan (PKR). Saya jelas dengan hala tuju dan ke mana parti ini harus dibawa. Jadi, pengalaman saya dengan banyak pihak kepimpinan, termasuk sebahagian besar yang telah mengkhianati, keluar parti, meninggalkan perjuangan ini, ujian besar yang datang, saya telah harungi. Tentunya, bersama-sama rakan-rakan lain yang setia dengan parti.
Perjuangan sudah tentunya perlu ada pengorbanan dan YB merupakan antara calon yang banyak berdepan dengan cabaran besar ketika bersama parti. Boleh komen?
Pengorbanan perlu ada. Bagi saya semua bekerja sebagai satu pasukan yang kuat dan telah membina parti ini bersama-sama dalam tempoh itu. Tetapi saya kenal dengan perjuangan parti, setia dengan parti walaupun macam-macam berlaku terhadap pemimpin saya ketika itu. Merekalah yang mendidik dan membawa saya ke tahap ini. Saya pun sudah lalui macam-macam ujian dalam perjuangan ini. Sampai seolah-olah dipulaukan, dilabel dengan kumpulan pengkhianat, dicaci maki, difitnah. Tetapi, di sebalik semua itu, saya setia dan masih bersangka baik dengan kepimpinan, Malah, menaruh harapan yang tinggi terhadap perjuangan ini. Bagi saya, ia bukan tentang siapa pemimpin, tetapi tentang apa perjuangannya. Pemimpin datang dan pergi, tetapi perjuangan Keadilan itu harus diteruskan oleh sesiapa sahaja.
Adakah YB rasa, anda adalah calon terbaik untuk meraih undi di DUN Hulu Kelang?
Saya membesar dengan Keadilan. Sejak habis belajar dan bergelar graduan, terus masuk dalam perjuangan Keadilan dan bermula dari bawah iaitu sebagai ahli aktivis sehinggalah ke tahap kepimpinan. Saya percaya, mungkin disebabkan Presiden melihat saya telah melalui ujian yang berat, ketika siri pengkhianatan fitnah dan jatuh bangun Keadilan, khususnya kami yang dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan pengkhianat. Namun, saya sahut cabaran, amanah dan arahan ini daripada Presiden dan parti untuk sambung legasi Keadilan dan pastikan dapat menang kerusi. Ini juga satu isyarat jelas kepada rakyat bahawa kita menolak siapa sahaja yang mengkhianat dalam perjuangan ini.
Adakah YB sudah bersedia menentang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga dikatakan mempunyai pengaruh dan sokongan yang kuat dan bagaimana YB melihat kemenangan dapat berpihak kepada PH?
Bersedia atau tidak, saya kena terus terjun dalam perjuangan di Hulu Kelang ini. Saya juga tidak asing di daerah itu, berasal dari situ, malah keluarga juga berada di situ. Boleh dikatakan, Hulu Kelang adalah ‘playground’ saya dan akhirnya kembali untuk menyantuni penduduk dan pengundi di situ. Mungkin Presiden melihat faktor saya adalah anak jati Hulu Kelang. Lawan saya, Azmin pun merupakan anak tempatan.
Cabaran cukup besar kerana dalam PRN kali ini, walaupun kerusi di Hulu Kelang dan keseluruhan Parlimen Gombak secara tradisinya sudah tiga penggal di bawah PH, namun mutakhir ini memang kelihatan ada perubahan landskap politik di peringkat nasional yang boleh memberi kesan kepada politik lokal. Jadi saya tidak boleh ambil mudah, PH tak boleh sambil lewa dengan perubahan politik semasa. Saya perlu kerja keras untuk menyantuni semua aduan rakyat dan pengundi selain memberikan komitmen untuk melaksana dan menyelesaikan isu-isu penduduk, sekiranya diberi peluang. Saya yakin pengundi di Hulu Kelang masih sayang dan memberi kepercayaan kepada PH tetapi parti tidak boleh sambil lewa walaupun nampak kita boleh menang kerusi. – UTUSAN










