Jiwai persaudaraan kaum Muhajirin, Ansar dalam peristiwa hijrah - Utusan Malaysia

Jiwai persaudaraan kaum Muhajirin, Ansar dalam peristiwa hijrah

AHMAD Fuzi Abdul Razak (tengah) menyerahkan replika cek kepada tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang bagi tahun 1445H/2023, Prof. Dr. Mohammad Ilyas Shahabuddin dalam majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Pulau Pinang di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang semalam. - Pic: FB Bahagian Pendidikan JHEAIPP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Umat Islam di diseru menjiwai peristiwa hijrah sempena sambutan Maal Hijrah yang bukan sekadar mengenang perpindahan Nabi Muhammad SAW secara fizikal serta meninggalkan harta dan tanah kelahiran semata-mata.

Sebaliknya, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, peristiwa hijrah itu telah memperlihatkan bagaimana Nabi Muhammad SAW telah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar.

Jelasnya, kedua-dua kaum itu disatukan dengan perpaduan sesama Islam berteraskan prinsip persaudaraan iman yang menghapuskan kebanggaan diri, fanatik perkauman dan kekeluargaan yang menjadi kebanggaan bagi bangsa Arab.

”Rasulullah SAW menegakkan negara dengan mendahulukan konsep perpaduan rakyat dalam masyarakat majmuk, bermula dengan menyatukan umat Islam,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Pulau Pinang di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, di sini semalam.

Dalam majlis itu, ahli astronomi Islam, Prof. Dr. Mohammad Ilyas Shahabuddin,73, dinobatkan sebagai tokoh Maal Hijrah bagi tahun 1445H / 2023.

Mohammad Ilyas merupakan salah seorang pengasas dan Profesor di Pusat Falak Sheikh Tahir di Pulau Pinang iaitu pada tahun 1995 sehingga 2005.

Mohammad Ilyas menerima anugerah tersebut yang disampaikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Selain itu, beliau merupakan individu yang telah menemui kaedah berkaitan kebolehnampakkan anak bulan berdasarkan idea Garis Tarikh Bulan Islam Antarabangsa.

Menurut Zakiyuddin, perpaduan yang diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW itu telah disertai oleh pihak-pihak yang bertelagah iaitu golongan bukan Islam yang terdiri daripada kaum Yahudi, Kristian, Majusi dan lain-lain dalam membentuk sebuah negara.

“Jelas bahawa peristiwa hijrah ini memberi impak yang sangat besar dalam sesebuah institusi kerajaan.

“Ibrah hijrah Rasulullah SAW dapat membentuk kesatuan dan perpaduan umat di dalam masyarakat majmuk yang berbilang kaum,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, tema sambutan tahun baharu hijrah tahun ini iaitu Perpaduan Teras Masyarakat Madani sangat bertepatan dengan aspirasi negara ke arah membina masyarakat yang beradab (civilised) yang maju dari segi pemikiran, kerohanian dan material.

”Melalui penghayatan terhadap Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan, kita dapat menanamkan nilai hormat yang ada dalam diri sekali gus menolak sebarang unsur perkauman yang boleh merosakkan perpaduan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya