'Jangan negatifkan poligami' - Utusan Malaysia

‘Jangan negatifkan poligami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERKENAL dengan seleksi lagu-lagu cinta versi Islamik seperti Kasih Kekasih, Nur Kasih dan Dia, kumpulan Inteam berhasrat lagu tersebut menjadi panduan buat mana-mana pasangan yang sedang menjalani kehidupan berumah tangga.

Kumpulan yang dianggotai empat ahli itu juga berharap isu poligami tidak menjadi persepsi negatif dalam kalangan masyarakat kerana banyak contoh berjaya yang boleh diteladani.

Bagi Abdul Rahim, mana-mana individu yang memilih untuk berpoligami perlu bersedia berhadapan dengan segala ujian, cabaran dan tanggungjawab.

“Poligami adalah benda yang diharuskan dalam Islam. Terpulang pada individu yang akan melaluinya atau sedang menempuhnya.

“Ia adalah bagaimana kita menguruskan permasalahan yang akan dilalui selepas keputusan berpoligami dibuat,” katanya.

Hazamin pula berpandangan masyarakat sering digembar-gemburkan dengan keburukan berpoligami berbanding cerita kebaikan mengenainya.

“Poligami ini berkaitan dengan hukum hakam agama. Individu yang melaksanakannya perlu betul-betul menjaga tanggungjawab dan keadilan yang sepatutnya.

“Apa yang kita sedih banyak digembar-gemburkan tentang keburukan berbanding kebaikan poligami itu sendiri. Kita juga perlu berhati-hati agar tidak menjadi fitnah kepada agama,” kongsinya.

Pada sama sama, Syahril berkata, Inteam juga banyak menghasilkan lagu-lagu cinta yang sebenarnya bertujuan menyuburkan kasih sayang dan menghargai pasangan masing-masing.

Katanya, lagu-lagu tersebut juga wajar menjadi pengajaran dan pedoman buat pendengar.

“Banyak lagu tentang suami isteri dan kisah rumah tangga yang kami sampaikan selama ini.

“Walaupun diri kita termasuk pasangan tidak sempurna, tetapi kita perlu ingat hidup ini adalah saling melengkapi antara satu sama lain,” katanya.

KONSERT 5 RUKUN

Inteam antara barisan artis yang bakal menjayakan Konsert 5 Rukun selain Rabbani, Hijjaz, Mestica dan Daqmie di Zepp Kuala Lumpur, 15 September depan.

Konsert 5 Rukun juga merupakan satu kesinambungan daripada penerbitan album Sahabat Selamanya yang pernah dijayakan kelima-lima artis tersebut, tahun lalu.

Mengandungi lima segmen dengan pemilihan lagu hebat, konsert ini juga akan diiringi oleh Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dari Istana Budaya di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Yazit Zakaria.

Dengan menerapkan gabungan irama nasyid dan irama tradisional serta elemen budaya Malaysia lain, konsert ini bakal menyaksikan pertembungan unik muzik Islamik dan muzik tradisi Melayu yang menjadi cerminan jati diri kita melalui kehidupan seharian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya