SINTOK: Peranan yang dimainkan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan ekonomi di negeri-negeri termasuk yang dikuasai oleh pembangkang tidak boleh dinafikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan sesuatu projek terutama berimpak tinggi yang dibangunkan di negeri-negeri tertentu turut berkait dengan dana atau peruntukan dikeluarkan Kerajaan Persekutuan.
Justeru, beliau berkata, memiliki kerajaan negeri yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan adalah lebih baik untuk memudahkan urusan pentadbiran, apatah lagi para pemimpinnya bersifat sopan dan bijak.
“Tapi akhirnya rakyat yang pilih. Namun kalau dicerita soal pembangunan ekonomi, katalah di Kedah paling tinggi (pembangunan) contohnya di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), pelaburannya adalah daripada Kerajaan Persekutuan.
“Kalau nak kata Kedah sudah berjaya, itu adalah hasil daripada dana Kerajaan Persekutuan yang hampir keseluruhannya. Saya tidak nafi ada peranan daripada kerajaan negeri tetapi Kerajaan Persekutuan lebih besar peranannya,” katanya dalam Program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.
Beliau menjawab persoalan yang dikemukakan oleh seorang mahasiswa yang bertanyakan sama ada rakyat perlu memilih kerajaan negeri yang selari atau pun terbukti keberkesanannya dalam pentadbiran.
Mahasiswa terbabit memberi contoh tentang pentadbiran kerajaan negeri Terengganu pimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang dikatakan meningkat dalam aspek pertumbuhan ekonominya termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejak diambil alih daripada kerajaan terdahulu.
Perdana Menteri berkata, sektor minyak dan gas menjadi penyumbang tertinggi dalam pertumbuhan ekonomi di negeri Pantai Timur itu yang mana ia melibatkan syarikat Petronas yang berada di bawah Kerajaan Persekutuan.
“Memang betul Terengganu nampak meningkat tapi dari nilai ambang mana, paling rendah (kedudukan) kerana Terengganu negeri paling miskin di semenanjung. Kalau mereka naik empat peratus Selangor naik satu peratus, negeri Selangor tetap paling tinggi.
“Saya ada beritahu Menteri Besar (Terengganu) bahawa ketika ke China ada pelaburan syarikat petrokimia yang nak ke Johor, saya cakap lihat juga Terengganu sebab ada potensi. Baru ini ada cadangan tenaga angin (melibatkan) kos tinggi yang bercadang nak eksport ke Singapura
“Saya kata angin yang kuat di sebelah Pantai Timur, maka saya pilih Kelantan atau Terengganu. Esok kalau sampai (projek itu) ke sana saya tak mahu nafikan peranan orang Terengganu dan kerajaannya tapi jangan nafikan sebenarnya kekuatan itu daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN