Imigresen, JPN disiasat - PM

Imigresen, JPN disiasat – PM

ANWAR Ibrahim ketika hadir Majlis Perhinpunan Bulanan bersama warga JPM di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan, dua jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri iaitu Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara sedang disiasat pihak berkuasa berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Perdana Menteri berkata, beliau menerima maklumat ada unsur salah guna kuasa di JPN apabila proses untuk mendapatkan sijil warganegara dikenakan bayaran tertentu oleh mereka yang layak mendapat status kewarganegaraan.

Beliau bagaimanapun berkata, hal itu berlaku apabila terdapat kumpulan kecil yang masih biasa dengan sistem dan amalan lama termasuk Jabatan Imigresen berhubung sistem pengoperasian di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) yang memerlukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak.

“Tetapi jumlah itu terlalu kecil, namun harus ada tindakan keras dan tegas kalau tidak ia merosakkan seluruh imej pentadbiran sama ada pimpinan yang bicara tetapi tidak mampu mengamalkannya atau imej umum.

“Maka tidak wajar kita memberi gambaran persepsi umum bahawa ada kerosakan dalam imigresen.

“Sebab itu saya pergi dengan merumuskan untuk mempertahan integriti dan kewibawaan Jabatan imigresen keseluruhannya tetapi masih menekankan supaya beberapa kelompok kecil yang masih meresa selesa cara lama harus bertindak segera dan keras kerana perkara yang berlaku menjejaskan kerjaya kita, imej jabatan penjawat awam dan negara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bulan Julai, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar yang mengadakan tinjauan ke KLIA semalam turut kesal apabila hanya satu daripada tujuh mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) di Terminal 1 yang berfungsi.

Menurut beliau, masalah tersebut dikatakan berlarutan bertahun lamanya tetapi tidak diatasi.

“Kebetulan saya Menteri Kewangan dan Kastam di bawah tanggungjawab saya tetapi takkan hendak tunggu menteri turun baru tahu yang mana rosak?” soalnya.

Pada masa sama beliau menegaskan, kelemahan penyampaian maklumat di peringkat bawahan kepada pihak atas perlu diperbaiki dan tanggungjawab pegawai atasan untuk turun ke bawah melihat kelemahan yang boleh ditambah baik dan bukannya sekadar mencari salah atau mengecam apatah lagi memberi gambaran secara umum.

“Hal-hal sebegini adakah (perlu) pegawai di situ dipersalah? Mungkin dia lapor tetapi kelemahan ini perlu diperbaiki untuk perkhidmatan yang baik,” katanya.

Jelas Anwar, kelulusan segera boleh dibuat sekiranya kos mesin pengimbas tersebut sekitar berapa juta ringgit.

“Saya percaya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat semata-mata kerana saya memberi kelulusan segera.

“Keadaan itu mendesak. Mesin pengimbas rosak. Bayangkan tujuh buah sudah lama rosak sejak beberapa tahun lalu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya