Ibu, dua anak nekad terjun tingkap selamatkan diri daripada api

Ibu, dua anak nekad terjun tingkap selamatkan diri daripada kebakaran

KEBAKARAN yang memusnahkan sebuah rumah di Kampung Sangkir, Kota Belud pagi tadi.-IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BELUD: Seorang ibu dan dua anak lelakinya bertindak nekad terjun dari tingkat dua rumah bagi menyelamatkan diri daripada kebakaran yang berlaku di Kampung Sangkir awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 pagi itu, ketiga-tiga mangsa yang berusia antara enam hingga 46 tahun itu mengalami cedera ringan ketika terjun setinggi tiga meter dari tingkap rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, ketiga-tiga mangsa cedera semasa terjun untuk menyelamatkan diri dari tingkat dua rumah yang terbakar.

Mangsa telah diberi rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan seterusnya dihantar ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden kebakaran itu pada pukul 1.40 pagi dan sepasukan tujuh pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari BBP.

Beliau berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, terdapat sebuah rumah dua tingkat terbakar sepenuhnya dalam kejadian tersebut.

“Pihak bomba bertindak mengawal dan memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran 200 kaki menerusi dua pancutan sumber air dari jentera tangki bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman api terkawal pada pukul 3 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.28 pagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN