Hubungan dengan Ramasamy, Satees masih baik - Kon Yeow - Utusan Malaysia

Hubungan dengan Ramasamy, Satees masih baik – Kon Yeow

CHOW Kon Yeow (tengah) menerima cek daripada King Sing dalam majlis penyerahan peruntukan program pemeliharaan tapak warisan dunia yang diiktiraf UNESCO kepada Pulau Pinang dan Melaka di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menjelaskan hubungannya dengan bekas Timbalan Ketua Menteri I, Dr. P. Ramasamy dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees yang digugurkan sebagai calon parti itu pasa Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini masih dalam keadaan baik.

Kon Yeow berkata, kedua-duanya juga ada berhubung dengan beliau, malah beliau yakin Ramasamy masih lagi ahli DAP.

”Saya ada baca Ramasamy kata dia ahli DAP lagi, malah mereka ada berhubung dengan saya, memang hubungan mereka tidak bermasalah dengan saya.

”Sampai orang yang kata dia jadi calon Bebas pun, dia sokong saya lagi,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan peruntukan program pemeliharaan tapak warisan dunia yang diiktiraf UNESCO kepada Pulau Pinang dan Melaka oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing di sini hari ini.

Dalam pengumuman calon DAP bagi PRN Pulau Pinang oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada Selasa lalu, Ramasamy dan Satees antara tujuh penyandang termasuk empat Exco Kerajaan Negeri yang digugurkan.

Menurut Kon Yeow, setakat ini tidak timbul isu sama ada Ramasamy atau Satees dipecat atau tidak daripada DAP.

”Tidak timbul buang atau tidak, itu adalah proses tatatertib kalau ada, saya tidak kata ada. Tetapi bagi seseorang yang bertanding sebagai calon Bebas atau calon parti lain, mereka dianggap ditamatkan keahlian,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, dengan senarai nama calon DAP yang telah dimuktamadkan dan terdapat ramai muka-muka lama tidak dicalonkan semula, beliau perlu membentuk satu barisan Exco yang baharu sekiranya dipilih semula oleh rakyat.

”Jadi dengan begitu ramai yang tidak dicalonkan lagi, maka kesinambungan terputus sebab ramai (Exco) tidak ada lagi.

”Sedangkan satu penggal kita usahakan pelaksanaan visi Penang2030 memang ada banyak sasaran dan program untuk dilaksanakan, maka dengan ini perlu ada satu barisan Exco yang baharu untuk teruskan kerja-kerja yang ditetapkan di bawah visi Penang2030,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya