PETALING JAYA: Hasrat Khai Bahar, 29, pulang ke kampung halaman di Perlis bagi memujuk ibunya ke hospital tidak kesampaian apabila penyanyi tersebut terlibat dalam kemalangan.
Dalam kejadian kira-kira pukul lima pagi, kenderaan BMW putih dinaiki penyanyi lagu Luluh itu mengalami kerosakan selepas melanggar sebiji tayar lori yang tiba-tiba muncul di atas jalan.
“Bulan ini sahaja sudah beberapa kali balik perlis. Tapi kali ini tak dapat sampai perlis sebab terlanggar tayar lori tengah lebuh raya,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.
Penyanyi berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Namun, Khai meluahkan rasa kecewa kerana kemalangan tersebut membantutkan hasratnya untuk membawa ibunya, Rosnah Muhammad, 61, menjalani rawatan di hospital.
“Alhamdulillah tiada benda serius. Sesi nak pujuk mak pergi hospital gagal kali ini,” tulisnya lagi.
Sebelum ini, Khai pernah berkongsi kerisauannya terhadap kesihatan ibunya yang semakin merosot akibat sakit buah pinggang.
Tahun lalu, ibunya pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Lumpur kerana sakit yang sama dan dinasihati untuk menjalani rawatan dialisis.