SHAH ALAM: Mahkamah mensabitkan pelakon, Hafidz Roshdi, 29,sah bercerai talak satu dengan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini.
Dalam perbicaraan pengesahan lafaz cerai hari ini Hafidz diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abd Kadir, manakala Nurul Shuhada diwakili peguam syarie, Nurfarhana Abd Manaf di hadapan Hakim Syarie Siti Rahmah Hussin hari ini.
“Saya bersyukur kes kami sudah selesai dengan baik yang mana saya hari ini sudah bercerai dengan talak satu. Saya nak ucapkan terima kasih semua yang menghormati privasi dan karier saya.
“Alhamdullillah saya lega, perkara ini diselesaikan cara baik dan tiada pergaduhan. Saya juga menghormati keputusan hakim dan berpuas hati dan gembira dengan dengan keputusan hari ini,” kata Hafidz ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.
Peguam mewakili Hafidz, Akberdin Abd Kadir berkata mahkamah hanya menerima satu lafaz cerai sahaja iaitu melalui panggilan telefon bertarikh 22 Februari tahun ini.
“Dakwaan sebelah pihak lagi yang mendakwa lafaz cerai menerusi Whatsapp pada 20 Januari, tidak diterima oleh mahkamah.
“Maka perceraian adalah talak satu bertarikh 22 Februari 2023,” tambahnya.
Nurul Shuhada dalam linangan air mata bersyukur kerana beban yang ditanggungnya selama ini sudah berakhir.
“Alhamdulillah, saya rasa seperti Allah sudah mengangkat satu beban dari hati saya,
“Saya akan lebih bersemangat bergelar ibu tunggal kerana tidak lagi bergantung kepada orang lain. Hanya diri sendiri dan Allah,” katanya.
Terdahulu Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan pengesahan lafaz cerai hari ini di hadapan Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin.
Sebelum ini, peguam syarie mewakili Hafidz iaitu Ummi Kartini Abd Latiff memaklumkan terdapat lafaz cerai di luar mahkamah yang didakwa berlaku sebanyak dua kali.
Nurul Shuhada mendakwa suaminya ada melafazkan cerai melalui aplikasi WhatsApp pada 20 Januari.
Hafidz turut dilaporkan melafazkan cerai kepada Shuhada melalui panggilan telefon di hadapan keluarga masing-masing kali kedua 22 Februari lalu.
Shuhada memfailkan proses pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 28 Februari lalu.
Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya.