Golf amal OFAKLS berjaya kumpul RM80,000

Golf amal OFAKLS berjaya kumpul RM80,000

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (duduk, tengah) bergambar sebelum berkenan menyempurna dan menyertai acara OFAKLS di The Mines Resort & Golf Club, Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejohanan golf amal anjuran Old Frees Association Kuala Lumpur & Selangor (OFAKLS) yang diadakan di The Mines Resort & Golf Club, Seri Kembangan dekat sini, baru-baru ini, berjaya mengumpul RM80,000 untuk diisi dalam tabung biasiswa badan itu.

Daripada jumlah itu, KR Group Berhad menjadi penyumbang terbesar iaitu RM50,000 dalam kejohanan yang disertai lebih 70 pemain yang terdiri daripada penaja dan jemputan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurna dan turut menyertai golf amal OFAKLS.

Pengerusi penganjur yang juga Presiden OFAKLS, Ivan Ooi berkata, sejak ia ditubuhkan pada 2010, OFAKLS telah menyalurkan bantuan sebanyak RM200,000 bagi membantu pelajar kurang mampu yang cemerlang di Penang Free School bagi menyambung pengajian peringkat tinggi.

Katanya, setakat ini seramai 25 pelajar sudah mendapat faedah daripada tabung biasiswa tersebut.

“Pendidikan amat penting dalam membantu membasmi kemiskinan sekali gus menjadikan negara ini berdaya maju dan kukuh ekonominya berasaskan pengetahuan.

“Oleh itu, amatlah wajar untuk OFAKLS terus menghulurkan bantuan kepada pelajar cemerlang kurang berkemampuan yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Kami dengan rasa rendah diri dan bersyukur di atas perkenan dan sokongan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah terhadap program amal ini,” katanya ketika berucap dalam majlis makan tengah hari dan penyampaian hadiah baru-baru ini.

OFAKLS adalah alumni bekas pelajar Penang Free School di Pulau Pinang iaitu sebuah Sekolah Inggeris yang ditubuhkan pada 1816 dan yang tertua di negara ini dan juga Asia Tenggara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN