Gerakan minta penjelasan papan iklan Malaysia Madani di seluruh Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Gerakan minta penjelasan papan iklan Malaysia Madani di seluruh Pulau Pinang

ANDREW Ooi menunjukkan papan iklan Malaysia Madani yang dikesan dipasang di sekitar Pulau Pinang dalam sidang akhbar di Bayan Baru, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri; Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pejabat Daerah dan Tanah menjelaskan kemunculan papan iklan berwarna merah yang memaparkan perkataan Malaysia Madani di pelbagai lokasi di Pulau Pinang ketika ini.

Selain perkataan Malaysia Madani, potret Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turu dipaparkan pada papan iklan tersebut.

Ketua Pasukan Media Sosial Gerakan Pulau Pinang, Andrew Ooi Ghee Oon berkata, sejak kebelakangan ini, banyak papan iklan itu dipasang di seluruh Pulau Pinang termasuk 19 daripadanya dikesan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak.

”Adakah Perdana Menteri tahu papan iklan yang memaparkan potret beliau kini boleh dilihat di seluruh Pulau Pinang?

”Disebabkan itu, kami meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang, MBPP, SPR dan Pejabat Daerah dan Tanah untuk menjelaskan berhubung kewujudan papan iklan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Andrew, pada April lalu, Anwar telah mengarahkan pemasangan papan iklan baharu yang memaparkan wajahnya dan Malaysia Madani yang menggunakan peruntukan kerajaan dihentikan serta-merta.

Ketika itu, ujarnya, Anwar tidak setuju papan iklan ‘Malaysia Madani’ dan potretnya digunakan pada papan iklan selain menyatakan dana yang digunakan untuk papan iklan tersebut boleh digunakan dengan cara yang lebih baik.

“Jadi keadaan pada masa ini jelas bertentangan dengan kenyataan dan arahan Perdana Menteri sebelum ini.

”Oleh itu, kami ingin bertanya organisasi mana yang mendirikan papan iklan ini, berapa bilangan papan iklan yang telah dipasang di negeri ini dan adakah kesemuanya telah mendapat kelulusan rasmi untuk pemasangan?” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, sekiranya papan iklan itu bertujuan sebagai propaganda pilihan raya, ia tidak sepatutnya dipamerkan sebelum hari penamaan calon.

”Gerakan percaya jika papan iklan ini dipasang tanpa persetujuan individu yang digambarkan padanya iaitu Perdana Menteri, unit penguatkuasa MBPP perlu mengambil tindakan segera.

”Gerakan juga akan membuat aduan dan bantahan kepada SPR berhubung perkara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya