PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman membuat laporan polis terhadap seorang pempengaruh media sosial yang didakwa mengeluarkan kenyataan seksis dan berunsur lucah terhadapnya.
Young Syefura berkata, kenyataan melalui sebuah klip video disiarkan di akaun TikTok dan Instagram milik pempengaruh media sosial berkenaan itu dianggap sebagai satu gangguan seksual terhadap dirinya.
Kata beliau, individu berkenaan menggunakan beberapa perkataan lucah serta lenggok bahasa badan menerusi klip video tersebut sehingga menyebabkan dirinya tidak selesa.
“Saya terbuka jika ada yang mempertikai pandangan dan ideologi politik saya. Setiap daripada kita berhak mempunyai pandangan masing-masing. Namun apa telah dilakukan oleh pempengaruh ini adalah satu serangan peribadi kepada saya dan ia juga berbaur lucah yang menjejaskan reputasi serta kehormatan saya sebagai seorang wanita dan Ahli Parlimen.
“Kenyataan seksis dan gangguan sebegini sememangnya acapkali dihadapi oleh kaum wanita waima apa jua bidang kerja mereka dan ia bukanlah sesuatu yang normal serta perlu dihentikan. Wanita berhak hidup di dalam persekitaran yang selamat tidak kira di mana jua mereka berada tanpa sebarang ancaman yang boleh menimbulkan ketakutan dan rasa tidak selesa terhadap mereka,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Young Syefura berkata, tujuan laporan polis dibuat adalah untuk memberikan pengajaran kepada semua pelaku jenayah gangguan seksual.
“Ia juga adalah untuk menggalakkan mangsa-mangsa jenayah gangguan seksual lain berani tampil ke hadapan, tidak kira lelaki atau wanita.
“Saya menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan ke atas kedua-dua kes ini dan saya berharap tindakan tegas akan diambil terhadap semua penjenayah-penjenayah kes scammer dan kes gangguan seksual di dalam negara ini,” katanya.
Pada 11 Ogos tahun lalu Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Gangguan Seksual dan ia dikuatkuasakan pada tahun ini.
Sementara itu, Young Syefura turut membuat laporan polis mengenai kejadian scammer yang menghantar mesej melalui Instagram mengaku sebagai wakil kepada pihak beliau untuk penganjuran program menjana pendapatan.
Kedua-dua laporan polis dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong oleh pegawai khasnya. – UTUSAN










