Dua beranak maut dalam perjalanan ke majlis tahlil

Dua beranak maut dalam perjalanan ke majlis tahlil

MUHAMAD Huzaifah (duduk, dua dari kanan) sebak ketika majlis pengebumian bapa dan adiknya di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerinting, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Hasrat dua beranak untuk pulang ke kampung bagi menghadiri kenduri tahlil bertukar tragedi apabila kedua-duanya maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan kayu di Kilometer 37, Jalan Gua Musang-Jeli di Kampung Meronto, di sini kelmarin.

Menurut anak sulung mangsa, Ummu Noor Hafshah Mohd. Zuki, 28, berkata, sebelum kejadian arwah bapanya, Mohd. Zuki Mohamed Ali, 55, sering mengingatkan mengenai solat kepada dia dan lapan beradik yang lain supaya tidak meninggalkan Rukun Islam kedua itu dan terus melakukan ibadah tersebut sebaik sahaja masuk waktu tanpa berlengah.

“Bapa bersama dua adik lelaki, Muhammad Hasbullah, 15, dan Muhamad Huzaifah, 18, dalam perjalanan ke Dabong, Kuala Krai untuk menghadiri majlis tahlil malam ke-40 arwah datuk.

“Mereka bertolak kira-kira pukul 5.30 petang. Kami menerima panggilan daripada seorang individu kira-kira pukul 6.20 petang menggunakan telefon bimbit milik Muhamad Huzaifah yang menyatakan arwah abah dan adik terlibat dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Perumahan Jabatan Perumahan Negara (JPN) Kampung Kerinting, di sini semalam.

Ummu Noor Hafshah memberitahu, arwah bapanya mengajak dua adik lelaki bersama untuk ke majlis tahlil arwah datuk di Dabong.

Katanya, dia melihat sikap arwah bapanya banyak berubah terutamanya seminggu sebelum kejadian apabila kelihatan lebih banyak berdiam diri.

“Muhammad Hasbullah yang turut maut merupakan anak ketujuh daripada sembilan beradik dan baharu seminggu tinggal bersama keluarga kerana sebelum ini belajar di sekolah tahfiz.

“Dia baru bertukar ke sekolah Sekolah Menengah Agama (A) Maahad Muhammadi Gua Musang sejak seminggu lalu. Arwah bersungguh untuk bertukar sekolah dan tinggal bersama keluarga. Kami akan ingat pesanan arwah abah supaya kami tidak tinggal solat dan solat pada awal waktu,” katanya.

Sementara itu isteri mangsa, Noor azizah Ismail, 51, berkata, dia reda dengan kehilangan dua orang insan tersayang dan menganggap keadaan itu sebagai ujian.

“Semalam (kelmarin), saya ada urusan dan tidak dapat ikut arwah dan dua anak lelaki ke Dabong.

“Ujian ini amat berat kerana hilang keduanya sekelip mata, namun saya reda dan kuatkan semangat demi anak-anak,” katanya.

Tambahnya, jenazah dua beranak selamat dikebumikan di dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kerinting kira-kira pukul 11 pagi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN