KUALA LUMPUR: Damoo Kitchen & Event Sdn. Bhd. melancarkan dapur pusat terkini yang bakal menjadikan mereka sebagai tonggak baharu dalam industri katering dan acara.
Dengan pelancaran dapur pusat itu, Damoo Kitchen menawarkan perkhidmatan sehenti yang komprehensif termasuk katering, dekorasi, pengurusan acara dan banyak lagi untuk pengguna.
Diasaskan oleh pasangan Daniel Wan dan Kelly Lim, Damoo Kitchen bermula ketika masa-masa mencabar era pandemik Covid-19 dan telah berkembang menjadi kerjaya yang amat menguntungkan.
Daniel membawa bersamanya pengalaman luas sebagai tukang masak berpengalaman yang pakar dalam masakan Jepun.
Impian mereka adalah untuk membawa cita rasa yang lazat dalam hidangan Jepun ke pintu pengguna dengan menjayakan pelbagai acara sama ada majlis kecil dengan 20 orang hingga majlis berskala besar dengan 1,000 orang tetamu.
Damoo Kitchen memberi jaminan akan menguruskan semuanya dengan pasukan profesional mereka.
Damoo Kitchen juga menawarkan pelbagai pilihan hidangan yang memenuhi cita rasa yang pelbagai sama ada hidangan tempatan, hidangan barat klasik, hidangan khas Jepun, hidangan Korea, hidangan Thai yang disukai ramai dan banyak lagi.
Majlis pelancaran dapur berpusat mereka dimeriahkan dengan kehadiran beberapa personaliti terkenal termasuk supermodel Amber Chia; artis TVB Hong Kong, Kelvin Chan dan Presiden The Knights Award, Dr. Zyro Wong.
Sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi dan daya tahan mereka sepanjang tahun yang penuh mencabar, Damoo Kitchen & Event baru-baru ini menerima anugerah ‘Katerer Terunggul Tahun Ini’ daripada The Knights Award 2023.
Penghargaan itu disampaikan oleh penaung anugerah itu, Tengku Razaleigh Hamzah, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Damoo Kitchen sebagai kekuatan utama dalam industri katering. – UTUSAN