Calon Muda dakwa kenyataan Ahmad Zahid ada unsur sogokan

Calon Muda dakwa kenyataan Ahmad Zahid ada unsur sogokan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesemua 19 calon Parti Ikatan Demokratik Muda Malaysia (Muda) mendakwa berlaku unsur sogokan untuk mendapatkan undi dalam kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada musim pilihan raya negeri (PRN) kali ini. 

Dalam satu kenyataan bersama, calon parti itu merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Zahid semalam di Kuala Terengganu selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu memberitahu beliau meluluskan RM250,000 untuk Majlis Belia Terengganu dan memberi peruntukan RM200,000 untuk pasukan pasukan bermotosikal seluruh negeri itu. 

Jelas kenyataan itu, Presiden UMNO itu juga dilapor menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menambah peruntukan asalkan para belia negeri berkenaan mengikut ‘gelombang biru dan merah’ yang ada di Terengganu pada 12 Ogos ini. 

“Di sini kami ada beberapa persoalan. Pertama, bukankah ini merupakan satu bentuk sogokan kerana jelas dinyatakan ‘asalkan pada 12 ogos nanti (hari mengundi) para belia mengikut gelombang biru dan merah’ di mana beliau (Ahmad Zahid) membayangkan sagu hati dan peruntukan ini berkait langsung dengan pilihan raya. 

“Kedua, adakah ini satu dasar yang wajar, berintegriti dan telus sekiranya peruntukan khas ini diluluskan di atas pentas ceramah politik? Ketiga, kenapa hanya belia negeri Terengganu mendapat peruntukan khas ini? Bagaimana pula belia-belia di negeri lain terutama negeri yang tidak mengadakan pilihan raya?” soal mereka dalam kenyataan itu. 

Tambah kenyataan itu, calon Muda turut mempersoal apakah kelulusan peruntukan itu dibatalkan sekiranya pengundi memilih parti lain selain daripada ‘gelombang biru dan merah’. 

“Malah, apakah ini pendirian Kabinet untuk membenarkan para menteri membelanjakan wang rakyat sesuka hati seolah-olah ia diambil daripada akaun simpanan peribadi? 

“Kami calon-calon dari Muda menyeru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan segera dan mendesak untuk kerajaan persekutuan menyatakan pendirian ke atas tindak-tanduk seperti ini. 

“Kami dengan tegas menolak politik lapuk seperti ini dan menyeru supaya rakyat membuat pilihan yang lebih baik. Ayuh ke mengorak langkah ke budaya politik baharu,” kata kenyataan itu.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya