MARANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meningkatkan pemantauan di 93 lokasi berisiko lemas di seluruh negara berikutan insiden kepala air yang melibatkan 10 mangsa di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Sabtu lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, lokasi pantauan JBPM itu bukan sahaja kawasan air terjun malah turut merangkumi sungai dan pantai.
“Antara lokasi berisiko di Terengganu ialah Lata Cangkah dan Lata Payung, Setiu; Air Terjun Belukar Bukit dan Sekayu, Hulu Terengganu dan Lata Tembakau, Besut.
“Jeram Mawar, Kemaman; Pantai Teluk Bidara, Dungun; muara Sungai Mangkuk, Setiu dan Pantai Pandak, Kuala Terengganu juga berisiko,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2023. di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, di sini, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, anggota JBPM akan melakukan rondaan berkala selain menempatkan alat bantu seperti pelampung di lokasi berisiko berkenaan sebagai inisiatif mengurangkan kematian akibat lemas.
Tambah beliau, JBPM juga akan menggiatkan lagi kempen keselamatan di air kerana tanpa kerjasama erat masyarakat, kes kematian akibat lemas di kawasan riadah sukar untuk ditangani.
“Papan tanda amaran telah dipasang di sebahagian lokasi air terjun, pantai dan sungai berisiko berkenaan dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya..
Dalam perkembangan sama, Akmal Nasrullah memberitahu, sebanyak 1,464 kes lemas telah dilaporkan berlaku di negara ini sejak tahun 2018.
Jelas beliau, sebanyak 168 kes lemas tersebut berlaku sejak awal tahun ini dengan 138 mangsa telah terkorban.
“Tiga mangsa mengalami kecederaan manakala selebihnya berjaya diselamatkan,” katanya.
Setakat ini, seramai sembilan mayat mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih telah ditemukan sejak Ahad lalu.
Sementara itu, seorang lagi mangsa belum dijumpai dan operasi pencarian masih diteruskan. – UTUSAN