KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengumumkan gabungan itu bertanding 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 245 kawasan pada enam pilihan raya negeri (PRN) Ogos depan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,daripada 108 calon yang dikemukakan, 63 peratus merupakan calon muka baharu dengan 18 peratus adalah penyandang sedia ada dan dicalonkan semula.
Selain itu, katanya, 20 peratus pula pernah bertanding tetapi mereka menawarkan diri untuk memastikan kesinambungan muka baharu dan lama.
“Alhamdulillah pada kali ini calon wanita cukup ramai. Calon-calon Pemuda dan bekas Pemuda juga ramai pada kali ini. Begitu juga Puteri.
“Kira-kira 87 peratus daripada calon ini memiliki kelayakan akademik di peringkat tertinggi,” katanya ketika berucap di Deean Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.
Jelas Ahmad Zahid, BN menawarkan wajah segar yang mampu untuk menggalas amanah sebagai wakil rakyat.
Malah katanya, barisan yang ditawarkan adalah terdiri daripada kalangan yang memahami aspirasi Kerajaan Perpaduan supaya kestabilan politik dapat ditampilkan.
“Saya tidak buat keputusan seorang diri, tetapi berunding dengan rakan dalam parti (terutamanya) Top 5 (untuk) pertimbangan.
“Kita juga telah kerjasama dengan beberapa pihak untuk meneliti latar belakang setiap calon.
“Bukan hanya dari segi insolvensi, tapi dari segi jika ada kes jeneyah, atau jika ada kes mahkamah, malah kita juga semak jika ada kes mahkamah syariah.
“Setelah teliti semua, baru kami putuskan calon itu dimuktamakan,” katanya.-UTUSAN










