KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memberi jaminan tidak membentuk kerajaan campuran dengan mana-mana parti termasuk Perikatan Nasional (PN) selepas pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, meskipun tiada perjanjian yang ditandatangani untuk kekal setia bersama Kerajaan Perpaduan, parti itu hanya fokus dengan kerajaan sedia ada yang sudah terbentuk di peringkat persekutuan.

Malah katanya, ia perlu diteruskan di peringkat negeri supaya ada kesinambungan dari segi dasar dan polisi dapat dijalankan.
“Kita tidak nampak ke arah itu (penubuhan kerajaan campuran), kerana DAP sangat dominan.. (ada) 11 kerusi dan ia sukar digugat oleh parti lain. PKR pula ada dua kerusi, selebihnya ada enam kerusi tambahan.
“Saya yakin untuk tubuhkan kerajaan Negeri Sembilan, cuma ia memerlukan penambahan sahaja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah BN berhasrat untuk menubuhkan kerajaan campuran selepas PRN nanti bagi mewujudkan kerajaan negeri yang lebih stabil.
Mengulas lanjut, Jalaluddin bagaimanapun menegaskan yang pihaknya tiada perancangan untuk melaksanakan perkara itu, malah tiada sebarang pertemuan dengan pimpinan PN buat masa ini.
“Perbincangan dengan PN mengenai perkara ini pun kita tidak pernah adakan, dan ia memberi jaminan yang kita tidak akan membentuk kerajaan campuran dengan mana-mana pihak selain daripada bersama Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.
Daripada 36 kerusi DUN Negeri Sembilan, 21 kerusi daripadanya mempunyai 60 peratus majoriti Melayu, dan PN meletakkan sasaran untuk menang 19 kerusi daripada jumlah berkenaan.
Sasaran itu bagi membolehkan kerajaan negeri dibentuk dengan majoriti mudah iaitu sebanyak 19 kerusi.
Buat masa ini, PH menguasai 20 kerusi di bawah pentadbiran Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun manakala bakinya dikuasai BN. –UTUSAN