Bidang pertanian unik, beri pulangan lumayan - Utusan Malaysia

Bidang pertanian unik, beri pulangan lumayan

RUBIAH Wang (kanan) menyerahkan Anugerah Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan Graduan Keseluruhan Terbaik Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) kepada Mohd. Shah Shafiq Hamran yang ditemani ibu bapanya sempena Majlis Konvokesyen UCAM kali ke-20 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penerima Anugerah Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Graduan Ke­seluruhan Terbaik Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Mohd. Shah Shafiq Hamran, 25, menganggap bidang pertanian unik sekali gus dapat memberi pulangan lumayan.

Bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian (Kepujian) itu, dia amat meminati pertanian sejak di Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja, Rembau pada peringkat diploma dalam bidang Agroindustri Tanaman.

“Semasa diploma, saya mula meminati bidang pertanian ini dan seterusnya melanjutkan pelajaran di UCAM dalam bidang Sains Pertanian.

“Bagi saya minat perlu ada dahulu dalam bidang ini. Saya menganggap bidang ini sangat unik, lebih-lebih lagi kurang yang berminat dalam bidang seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen UCAM kali ke-20 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai semalam.

Anak keempat daripada li­ma beradik itu kini sedang mengusahakan tanaman sayur seperti bayam, sawi, maman, kangkung, terung dan kacang panjang di sebuah tanah tanaman berkelompok di Batu Kikir.

“Melalui syarikat Nourish Greater Green Enterprise, saya mengusahakan penanaman sa­yur buah dan sayur daun yang dibantu lima pekerja ketika ini.

“Alhamdulillah permintaan agak tinggi terutama pada mu­sim perayaan,” katanya.

Mohd. Shah Shafiq merupakan usahawan Agroindustri Tanaman secara sepenuh masa bermula Ogos tahun lalu dengan tanah seluas lima ekar sebagai permulaan.

“Saya mampu memperoleh pendapatan kasar RM20,000 hingga RM30,000 sebulan. Saya juga membuat jualan mampu milik hasil ladang pada setiap Jumaat dengan harga RM1,” katanya.

Dia yang sudah berkahwin turut aktif dalam bidang lakonan apabila menyertai Pertan­dingan Pengisahan Kenegaraan peringkat Negeri Melaka pada 2019 dan antara pelakon bagi Festival Teater Melaka anjuran Jabatan Kebudayaan dan ke­senian Negara (JKKN).

Dalam pada itu, Muhammad Hanif Shahrin (Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian dengan Kepujian) menerima Anugerah Graduan Akademik (Ijazah Sarjana Muda) Terbaik.

Ahmad Zahid Zairimi Ka­marudin (Diploma Perakaunan) pula menerima Anugerah Gradu­an Akademik (Dip­loma) Terbaik manakala graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Pertanian) dengan Kepujian, Fatin Nurizdian Mahamad Johari menerima Anugerah Graduan Ko-kurikulum Terbaik.

Anugerah disampaikan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN