KUALA LUMPUR: “Badan ketot (kecil) macam ini hendak jadi artis ke?”.
Demikian pengakuan jujur pelakon dan pelawak, Bell Ngasri, 43, terhadap segelintir pengarah yang pernah menghina saiz badannya sehingga dikatakan tidak layak bergelar artis semasa menceburi bidang seni dahulu.
Walaupun banyak kenangan pahit manis dan sepak terajang dunia seni yang perlu dilalui sepanjang 37 tahun, Bell tetap cekal dan membuktikan bakat lakonannya sehingga meraih trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-35, di Istana Budaya, semalam.
“Demi Allah, pengarah yang pernah cakap pada saya seperti itu ada dalam dewan malam tadi.
“Sudah tentu, ia akan melunturkan semangat buat mana-mana pelakon, tetapi akhirnya ini adalah bukti buat mereka yang pernah melabelkan saya sedemikian rupa,” katanya.
Yakin bakat adalah nombor satu, Bell yang popular menerusi watak Barkoba dalam telefilem 16 Puasa, 17 Puasa, 18 Puasa tidak pernah mengimpikan trofi ‘popular’.
Namun, cita-cita yang tidak pernah diimpikan itu akhirnya dianugerahkan buat anak pasangan penyiar dan pelakon, Ngasri Sain serta Habibah Jaafar yang berlakon sejak zaman kanak-kanak.
“Saya sendiri pernah cakap tak perlukan bintang popular. Namun, akhirnya Allah SWT buka hati netizen daripada tiada peminat tiba-tiba mendapat anugerah ini.
“Selama ini, orang ramai tak pernah ambil tahu tentang saya. Mereka yang tak pernah mengundi pun tiba-tiba tergerak hati hendak mengundi,” kongsinya.
Ternyata populariti yang dikecapi kini sebenarnya datang daripada sifat pengorbanan Bell dalam bidang lakonan.
Katanya, dia begitu komited melunaskan tanggungjawab sebagai pelakon sehingga gigih datang ke lokasi penggambaran walaupun ditimpa kemalangan.
“Saya pernah beberapa kali kemalangan antaranya di depan bangunan Astro. Masa itu, berdarah-darah tetap datang buat rakaman suara latar.
“Itulah antara pengorbanan saya sepanjang lebih tiga dekad sampai pengarah marah suruh saya pergi hospital. Tetapi saya tak nak sebab memikirkan semua kos sudah dibayar oleh produksi, kalau saya tiada bimbang akan menjejaskan kos yang perlu ditanggung mereka,” katanya.