PASIR MAS: Kesedihan seorang bapa yang kehilangan kerja sebagai pemandu bas persiaran sejak tiga bulan lalu bagaikan terubat apabila anak perempuannya Siti Nur Ash Shahirah Faizal, 20, memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajar Malaysia (STPM) 2022 yang diumumkan semalam dengan meraih semua A dalam lima mata pelajaran.
Keputusan itu menyaksikan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja di sini memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Siti Nur Ash Shahirah berkata, dia mahu menghadiahkan kejayaan itu kepada bapanya Faizal Abdullah, 51, yang terpaksa berhenti kerja akibat ketiadaan trip perjalanan.
Menurutnya, pada masa sama kejayaan itu turut dihadiahkan kepada ibunya yang merupakan seorang suri rumah sepenuh masa.
“Kesusahan hidup memberi semangat untuk saya mengubah nasib keluarga ke arah yang lebih baik.
“Saya berharap cita-cita saya untuk menjadi seorang guru tercapai nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya ditemui di rumahnya di Kampung Jelor Sungai Keladi, Chetok di sini semalam. – UTUSAN