Bantuan SARA bukan 'gula-gula' PRN - Ahmad Maslan

Bantuan SARA bukan ‘gula-gula’ PRN – Ahmad Maslan

AHMAD Maslan melawat kaunter pembayaran cukai selepas merasmikan program VDP di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada miskin tegar yang mula dilaksanakan di beberapa negeri bukan ‘gula-gula’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya ia sudah pun diumumkan pada Bajet 2023 lalu.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, hanya pelaksanaan bantuan itu yang bermula hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sebenarnya sudah merancang lebih awal untuk melaksanakan SARA iaitu pada separuh penggal tahun ini.

“Jika nak kata ini gula-gula, hari ini belum lagi tempoh 29 Julai hingga 12 Ogos (kempen PRN), saya kira tiadalah pengumuman-pengumuman seperti ini dalam tempoh itu.

“Kita umum awal sebelum tarikh itu (kempen PRN). Kalau orang nak kata itu gula-gula sebenarnya kita sudah umum awal iaitu pada 24 Februari lalu (Bajet 2023),” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Handholding Cukai Langsung Jualan dan Program Pengakuan Sukarela (VDP), hari ini.

Katanya, bantuan SARA itu membolehkan golongan B40 dan miskin tegar memperoleh sumbangan tambahan RM600 menjadikan keseluruhan RM3,100 bantuan tunai diterima tahun ini.

Ahmad berkata, sumbangan tunai yang diterima rakyat oleh Kerajaan Perpaduan itu adalah tertinggi dalam sejarah negara setakat ini.

Menurutnya, kerajaan juga berharap SARA itu dapat diteruskan untuk tahun-tahun seterusnya.

“Kita berdoa moga dalam pembentangan Bajet 2024 pada 13 Oktober ini mudah-mudahan ia diteruskan jika kutipan cukai negara terus bertambah,” katanya.

Media semalam melaporkan, kerajaan memperuntukkan RM130 juta bagi program SARA yang akan memanfaatkan 210,000 penerima dalam kategori miskin tegar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, ia merupakan inisiatif di bawah Payung Rahmah untuk membantu golongan kurang berkemampuan terutamanya kumpulan miskin tegar mendepani cabaran kos sara hidup.

Penerima di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu akan menerima bantuan itu hari sebanyak RM100 setiap bulan bagi tempoh enam bulan (Julai hingga Disember 2023) secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima.

Manakala, penerima di Perlis, Perak, Pahang, Melaka dan Johor pula akan turut menerima kaedah bayaran sama, namun ia mula diagihkan pada 31 Julai ini.

Bagaimanapun bagi penerima daripada negeri Sabah, Sarawak dan akan mendapat bantuan itu mulai 7 Ogos depan dengan bayaran RM600 secara sekali gus melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN