PETALING JAYA: Selepas membuat pengumuman akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, penyanyi dangdut, Baby Shima melayangkan pertanyaan mengenai kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sesuai untuk ditandingi.
Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli berkemungkinan bertanding atas tiket bebas selepas memuat naik gambaran poster yang akan menjadi bahan kempen semasa PRN nanti.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram, Baby Shima turut menyertakan slogan ‘Dangdut Berdendang Rakyat Senang’.
“Assalamualaikum rakyat Malaysia. Saya ingin mengumumkan akan bertanding PRN untuk berkhidmat dan membela rakyat.
“Ingat, kamu (pengundi) bawa perubahan, fikir-fikirkanlah anak muda. Undi saya,” katanya menerusi media sosial tersebut.
Perkongsian tersebut menerima maklum balas netizen sehingga ada yang bercadang ingin menukar alamat kad pengenalan semata-mata mahu mengundi Baby Shima.
“Beritahu DUN mana, nak tukar alamat kad pengenalan ini,” kata warga maya.
Segelintir pengguna lain pula mempertikaikan kemampuan Baby Shima yang hanya akan hilang deposit sekiranya bertanding kelak.
“Lawan Altimet pun okey juga,” kata netizen.
“Tidak akan menangnya kalau bertanding pun,” ujar pengguna media sosial lain.
“Memeriahkan suasana sahaja. Banyak artis ikut bertanding PRN. Semua nak masuk politik untuk tolong susah dan peningkan rakyat,” komen netizen.
PRN di enam negeri diadakan serentak 12 Ogos depan sebagai hari pengundian, manakala, 29 Julai ini adalah hari penamaan calon seperti diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pembabitan artis atau golongan selebriti dalam gelanggang politik bukan sesuatu yang asing kerana ramai daripada mereka pernah mencuba nasib seperti Azwan Ali, Aishah, Herman Tino, Datuk Eizlan Yusof dan Lando Zawawi.
PRN kali ini menyaksikan penyanyi rap, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman diumumkan bertanding bagi kerusi DUN Lembah Jaya di Selangor atas tiket PKR.