Aplikasi ala-ala chatGPT bantu rujuk masalah agama

Aplikasi ala-ala chatGPT bantu rujuk masalah agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah aplikasi khas dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) sedang dalam pembinaan bagi memudahkan orang ramai merujuk mengenai hukum agama dengan lebih pantas.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berpendapat, inovasi sistem teknologi seperti aplikasi chatGPT boleh dihasilkan sebagai usaha menyebarkan ilmu mengenai kefahaman agama.

“Kami sedang membina sebuah aplikasi ala-ala chatGPT yang boleh memberi solusi kepada soal jawab agama.

“Aplikasi itu juga akan memberi pelbagai fungsi untuk kandungan dan rujukan kanak-kanak, persediaan menunaikan haji, persoalan agama dan perbincangan buat saudara baharu.

“Mengembangkan ilmu menerusi teknologi adalah perkara yang sedang AlHijrah usahakan untuk memastikan kami kekal relevan sehingga 13 tahun akan datang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bagi merealisasikan impian itu, syarikat penyiaran TVAlHijrah menjalin kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital serta aplikasi TikTok Malaysia.

“Kami dalam peringkat pembinaan aplikasi tersebut dengan kerjasama pihak kementerian dan TikTok Malaysia.

“Kami membuka ruang kerjasama untuk memberi garis panduan terhadap kandungan yang melibatkan penipuan barangan jualan produk halal dalam aplikasi mereka,” katanya.

Menjangkau usia 13 tahun penyiaran pada tahun ini, Namanzee optimis untuk membawa kandungan berunsur Islam yang lebih mesra dan dekat dengan generasi TikTok.

Selain pembinaan aplikasi, pihaknya juga sedang giat mengusahakan kandungan mudah tular menerusi platform media sosial seperti Marhaban Challenge.

Terkini, mereka bakal tampil dengan sebuah rancangan realiti pendakwah muda bertajuk Daie bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bagi mengatasi perbalahan yang sering melanda dalam kalangan agamawan muda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN