KOTA TINGGI: Seorang anak peneroka di Felda Bukit Aping Timur di sini mampu meraih pendapatan sampingan lebih RM3,000 sebulan dengan mengusahakan kebun jagung di kampung tersebut.
Fadzil Ramlan, 55 berkata, dia yang sebelum ini pernah menjalankan perniagaan sendiri memang berimpian untuk menetap di kampung dan menceburkan diri dalam bidang pertanian selepas ‘pencen’.
Bapa kepada lima orang anak itu berkata, tambahan pula dia mengambil jurusan dalam bidang pertanian ketika belajar Universiti Putra Malaysia (UPM) satu ketika dahulu.
“Saya memang minat pertanian tetapi lepas habis belajar keperluan untuk mencari duit ketika itu lebih utama berbanding minat. Jadi selepas habis belajar saya sempat bekerja makan gaji sebagai pengurus ladang ayam selama lima tahun.
“Selepas itu saya memulakan sendiri perniagaan ayam dari membela ayam hinggalah menjual ayam segar. Ketika itu saya ada pekerja sendiri dan mampu jana pendapatan lebih RM20,000. Jadi masa muda saya banyak diberikan tumpuan kepada perniagaan dengan menetap di bandar.
“Sebab itu saya menanam impian untuk ‘pencen’ pada usia 50 tahun dan mahu menetap di kampung. Bakat dalam bidang perniagaan turun kepada anak-anak dan saya kini hanya makan peratusan yang saya labur kepada mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Fadzil berkata, tumpuannya sekarang adalah ladang jagung yang diusahakan secara santai itu yang mana idea menanam jagung bermula selepas perancangan bersama ahli bloknya dalam usaha untuk membantu menambahkan pendapatan terutama buat ibu tunggal dan suri rumah.
Katanya, kini sebanyak 10,000 pokok jagung telah ditanam di tanah seluas satu ekar setengah itu yang turut dibantu dua orang ahli bloknya.
Bekas Ketua Kampung Felda Bukit Aping Timur itu berkata tidak dinafikan pertama kali dalam seumur hidup terpaksa melakukan sendiri kerja-kerja kebun bukanlah mudah baginya pada permulaannya.
“Sebelum ini kita sudah biasa ada pekerja sendiri. Bila uruskan sendiri kebun jagung ini memang rasa lain, besar cabarannya namun untuk permulaan sahaja bila sudah lama saya pula sudah terbiasa dan seronok dengan rutin hidup sekarang.
“Sekarang rutin saya setiap hari selepas solat subuh berjemaah di masjid saya akan mengeteh di warung, kemudian pukul 8 pagi hingga pukul 11 pagi saya akan ke kebun melakukan kerja kebun dan dalam seminggu juga saya akan cuti dua hari.
“Alhamdulillah walaupun bekerja hanya 3 jam sehari saya mampu meraih keuntungan bersih RM3,000 lebih sebulan. Sambil santai-santai saya boleh dapat pendapatan tersebut, sebab itu memang menjadi impian saya mahu menarik khususnya penduduk di kampung ini untuk sama-sama menjana pendapatan melalui apa yang saya buat ini,” katanya.
Beliau berkata, dia turut mempunyai perancangan jangka panjang untuk menjadikan kawasan kebun jagung yang turut ditanam pokok buluh itu sebagai kawasan agropelancongan tarikan kepada orang luar ke kampung tersebut dalam tempoh beberapa tahun lagi. – UTUSAN










