Anak buruh, penjual sate cemerlang STPM - Utusan Malaysia

Anak buruh, penjual sate cemerlang STPM

SORFINAZAKIAH Samsuddin (dua dari kanan) bersama ibunya serta Batrisyia Hassan (tiga dari kanan) bersama ibu dan bapanya pada Majlis Graduasi dan Pengumuman Keputusan STPM 2022 di SMK Tun Habab Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kehidupan keluarga yang susah menjadi pendorong bagi seorang anak buruh kampung di Teluk Ramunia, Pengerang dekat sini mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Sorfinazakiah Samsuddin, 20, yang meminati bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab yang mengambil masa lebih satu jam perjalanan bagi me­nyambung pelajaran selepas tamat Tingkatan Lima.

Dia yang merupakan anak tunggal memilih Tingkatan Enam untuk memudahkannya melanjutkan pengajian ke universiti.

“Kami bukan keluarga yang senang, ayah, Samsuddin M. Saad, 56, kerja buruh kampung manakala ibu ambil upah kemas hotel. Saya hanya hendak buat keluarga bahagia, mahu ubah nasib keluarga agar dapat kehidupan yang lebih senang suatu hari nanti.

“Memang itu impian saya sejak kecil, lebih-lebih lagi selepas melihat susah payah ibu dalam memberikan yang terbaik untuk pelajaran saya. Pernah saya lihat pengorbanan ibu yang sanggup menunggang motosikal semasa hujan hanya demi menghantar wang saku kepada saya.

“Melihat keadaan ibu yang sanggup bersusah payah memberi motivasi kepada saya supaya belajar dengan sungguh-sungguh dan ubah nasib keluarga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Majlis Graduasi dan Pengumuman Keputusan STPM 2022 yang di­sempurnakan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Tun Habab, Noriasah Sa­dek, di sini semalam.

Meskipun terpaksa menaiki teksi, Sorfinazakiah yang dite­mani ibunya, Sudartik Ngatemun, 47, amat gembira dan berpuas hati apabila diumumkan antara pelajar cemerlang de­ngan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Sementara itu, Batrisyia Hassan, 20, yang turut mendapat PNGK 4.00 berkata, kejayaan dikecapi itu sebagai hadiah buat ibu bapanya.

Bapanya, Hassan Ibrahim, 50, merupakan seorang penjual sate dan telah berniaga sejak dia kecil untuk menyara keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN