AMPANG: Penyanyi rap dan komposer terkenal, Altimet belum bercadang untuk menghasilkan sebarang lagu sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya yang ditandinginya.
Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman berkata, dia tidak berhasrat menjadikan lagu atau nyanyian sebagai bahan kempen bagi meraih undi daripada penduduk setempat.
“Buat masa ini belum ada lagi. Allah SWT belum bagi apa-apa ilham lagi.
“Lagu lain yang tiada kena mengena dengan PRN, mungkin ada. Kali terakhir saya menyanyi pun pada 2019,” katanya selepas proses Penamaan Calon di Dewan Dato Ahmad Razali, Ampang, di sini hari ini.
Kerusi DUN N20 Lembah Jaya menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Altimet mewakili calon Pakatan Harapan (PH) dengan Ketua Penerangan Pas Ampang, Sharifah Haslizah Syed Ariffin mewakli Perikatan Nasional (PN).
Disoal pertembungan sengit satu lawan satu, Altimet hanya berharap kepada mana-mana penyokong agar berkempen dengan cara berhemah dan beradab.
“Inshaa Allah, sepanjang proses berkempen, saya harap berjalan dengan penuh berhemah dan adab yang tinggi. Saya harap berlaku pertembungan yang sihat dan penyokong juga perlu sentiasa menjaga adab dan tatasusila.
“Saya rasa bertuah kerana diberi peluang (mewakili PH) untuk berkhidmat di DUN Lembah Jaya,” katanya.
Ditanya perancangan jangka masa panjang bagi DUN yang ditandinginya, Altimet berhasrat menjadikan Lembah Jaya sebagai sebuah kawasan yang mesra kepada semua lapisan usia.
“Walaupun lokasinya adalah di kota, tetapi kita mahu bawa suasana kampung di sini.
“Biar ia menjadi tempat yang selesa untuk anak-anak dan golongan yang sudah bersara tidak perlu lagi berpindah ke tempat lain. Ini kerana, ada golongan yang berpencen memilih untuk tinggal di tempat lain dan menjual rumah mereka di sini,” kongsinya.
Untuk rekod, Altimet memenangi jawatan sebagai Ketua PKR Cabang Ampang dengan menewaskan pelakon, Datuk Hans Isaac, Julai, tahun lalu.
Penyanyi lagu Sang Saka Biru ini juga memaklumkan sudah 13 tahun bermastautin di Ampang.