GOMBAK: Dana pilihan raya yang diterima Perikatan Nasional (PN) adalah sumbangan para penyokong dan orang ramai bagi membantu kempen parti gabungan tersebut.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibekukan sekali gus menyukarkan untuk menggerakkan kempen pilihan raya.
Presiden Bersatu itu menegaskan, sumbangan diterima pihaknya bagi menjalankan kempen pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bukan satu kesalahan dan tidak wajar dipertikai.
“Ya, akaun saya semua dibekukan dan ini semua (sumbangan) adalah wang rakyat (penyokong) untuk membantu Bersatu dan PN.
“Jadi, kenapa kita perlu mempersoalkan (derma yang diberikan) kerana saya tidak mempertikai berapa banyak pun (wang) yang mereka (Pakatan Harapan-Barisan Nasional) belanjakan (untuk kempen mereka),” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu di sini hari ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu ditanya sumber dana PN untuk menjalankan PRN di enam negeri ekoran akaun Bersatu dibeku ekoran siasatan membabitkan kes dihadapinya beberapa pemimpin Bersatu sebelum ini. – UTUSAN