Akan lahir puluhan lagi ‘Sanusi’ - Pemuda Pas - Utusan Malaysia

Akan lahir puluhan lagi ‘Sanusi’ – Pemuda Pas

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kami berjuang bukan kerana Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor), kami berjuang kerana akidah perjuangan yang suci. Hari ini kamu sekat seorang Sanusi, esok lusa akan lahir puluhan lagi Sanusi”.

Demikian kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berhubung pendakwaan yang dihadapi oleh Menteri Besar Kedah, pagi ini.

Afnan Hamimi mempersoal pendakwaan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu yang dijalankan dengan pantas berbanding pemimpin-pemimpin daripada pihak kerajaan yang turut memainkan isu 3R (agama, raja dan kaum).

“Berkemungkinan juga perbicaraan kes ini berlangsung dengan begitu pantas, barangkali sebelum penamaan calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini. Segala hujah dan bukti akan ditimbulkan untuk mensabitkan kesalahan. Ada kemungkinan dihukum penjara atau denda atau kedua-duanya, mengikut peruntukan undang-undang.

“Yang penting bagi mereka, sabitan hukuman nanti akan menjadikan Muhammad Sanusi tidak layak untuk bertanding di dalam PRN kelak. Apabila tidak layak bertanding, maka dengan sendirinya tidak dapat dilantik menjadi Menteri Besar.

“Bila Muhammad Sanusi tidak lagi menjadi Menteri Besar, maka hilanglah watak utama yang menghalang segala perancangan jahat mereka. Inilah misi utama mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut.

Muhammad Sanusi didakwa mengeluarkan kenyataan mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh menimbulkan rasa tidak setia terhadap mana-mana raja pada pukul 11 malam, 11 Julai lalu di simpang empat Taman Selayang Mutiara di sini.

Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, kerajaan mengambil langkah sedemikian kerana tidak boleh menyekat gelombang kebangkitan rakyat dan tahu bahawa sukar mendapatkan undi Melayu pada PRN, 12 Ogos ini.

“Mereka tahu, mereka sukar nak menandingi kehebatan Muhammad Sanusi dalam mentadbir negeri. Mereka risau, pengikut mereka semakin berkurang, penyokong PN semakin meningkat.

“Mereka risau, nyawa politik mereka akan mati jika tewas tersungkur dalam PRN enam negeri kali ini. Maka, satu-satunya cara yang mereka ada ialah menggunakan kuasa yang dipinjamkan sementara untuk membunuh nyawa politik manusia bernama Muhammad Sanusi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN