MARAN: Pengerusi baharu Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek diharap melantik lebih ramai generasi Felda sebagai Ahli Lembaga Pengarah bagi membantu menyuarakan permasalahan dan suara warga Felda dari ‘dalam’.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, sudah sampai masanya generasi kedua Felda yang berpendidikan tinggi dilantik sebagai Pengerusi Anak Syarikat Felda selaras konsep kebersamaan dalam agensi itu.
Sambil mengalu-alukan pelantikan Ahmad Shabery, beliau yakin bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu dapat meneruskan dan memperhebat peranan agensi terbabit dalam memakmurkan komuniti Felda.
“Harapan tinggi diletakkan di atas bahu Ahmad Shabery supaya dapat melaksanakan perubahan demi masa depan yang lebih baik buat lebih 100,000 warga peneroka,” katanya di sini semalam.
Bekas Ahli Lembaga Pengarah pertama Felda, Md. Nen Kasim, 82, berkata, janji tokoh peneraju konglomerat Felda seperti Tun Raja Alias dan Datuk Alladin Hashim untuk menyerahkan kepimpinan Felda kepada warga agensi itu masih belum tertunai.
“Saya masih ingat pada setiap kali perjumpaan dan majlis rasmi antara kata-kata perangsang ialah satu masa nanti seluruh kepimpinan tertinggi Felda dimiliki warga Felda sendiri.
“Selain bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussain, tokoh lain yang sering memperkatakan hala tuju Felda ialah Alladin dan lain-lain tokoh ketika itu,” katanya.
Md. Nen yang juga penerima Pingat Emas Felda pertama pada 7 Julai 1977 yakin suatu hari nanti semua barisan kepimpinan diterajui generasi baharu Felda yang berkebolehan dan berpendidikan tinggi.
Ahli Jawatankuasa Gabungan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Wilayah Mempaga, Mat Jidi Yaakob, 61, pula berkata, walaupun hasrat melihat anak Felda menjadi Pengerusi belum kesampaian, tidak bermakna mereka menolak pelantikan Ahmad Shabery.
“Bekas menteri itu sudah tentu mempunyai rangka kerja yang hebat,” katanya.
Ketua Peneroka Felda Jengka 7, Ahmad Zubir Abdul Rahim, 65, pula berpendapat, pemilihan Ahmad Shabery tentunya mengambil kira rekod cemerlang tokoh politik itu ketika menerajui beberapa kementerian. – UTUSAN