SONGKHLA: Pasukan keselamatan Thailand memperketat kawalan kawasan hutan berhampiran sempadan Malaysia di Padang Sanai, Kedah selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan diri daripada kepungan di Mukim Khuha, Daerah Saba Yoi, semalam.
Kejadian pukul 5.30 pagi itu berlaku semasa Pasukan Operasi Strategik Gororman Wilayah 40 melakukan rondaan di kebun getah di Kampung Huae Tao, sebelum mengesan tempat persembunyian kumpulan bersenjata.
Jurucakap berkata, semasa pemeriksaan dijalankan, kumpulan terdiri lima anggota melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan.
Katanya, situasi itu menyebabkan berlaku insiden berbalas tembakan selama beberapa minit sebelum kumpulan tersebut melarikan diri ke dalam hutan.
“Operasi mengesan anggota kumpulan bersenjata diteruskan bagi mengelak mereka melarikan diri ke Malaysia melalui hutan tebal,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Katanya, anggota pasukan khas kemudian meminta bantuan pelbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat dan guru agama untuk mengadakan rundingan agar kumpulan berkenaan menyerah diri.
“Rundingan tidak berhasil dan kumpulan bersenjata itu terus melepaskan tembakan sebelum melarikan diri di dalam hutan.
“Kami percaya ada anggota kumpulan cedera berdasarkan kesan darah di tempat kejadian dan menemui peralatan untuk aktiviti keganasan,” katanya.-UTUSAN










