Ahli Bersatu bantah calon PN Kota Siputeh

Ahli Bersatu bantah calon PN Kota Siputeh

AHLI PDM Kandis membantah calon PN Kota Siputeh yang didakwa bukan orang tempatan di Jerlun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Belum genap 24 jam tempoh pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh semalam, sebahagian daripada ahli kawasan itu hari ini tampil membuat bantahan dan menolak pencalonan berkenaan.

Ia ekoran rasa kurang senang ahli yang mendakwa calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang diumumkan mewakili kerusi itu bukan penduduk tempatan.

Timbalan Ketua Penerangan Bersatu Jerlun, Zailani Md. Zain berkata, ahli akar umbi kawasan itu berharap pucuk pimpinan terlibat khususnya Bersatu dapat membuat penilaian semula calon DUN tersebut.

“Kami nak orang yang berada di DUN Kota Siputeh yang menjadi calon kami iaitu Abdul Ramli (Ketua Bahagian Bersatu Jerlun) menjadi calon di Kota Siputeh. Kami menolak (Mohd. Ashraf Mustaqim) dan tidak akan membuka bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Jikalau (pihak berkenaan) ada kuasa, maka datanglah buka (PDM) di mana sekalipun. Tetapi (sebagai) penyokong kami menolak (calon PN terbabit),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PDM Kandis, di sini hari ini.

Sebahagian ahli PDM tersebut berhimpun menyuarakan rasa kurang senang selain bertindak menurunkan bendera PN di situ sebagai tanda protes. 

Menurut Zailani, mereka menolak Mohd. Ashraf Mustaqim yang bukan daripada Bersatu Bahagian Jerlun, malah namanya tidak dicadangkan melalui PDM itu.

“Kami percaya PN tidak akan meraih kemenangan di DUN Kota Siputeh sekiranya masih mengekalkan Mohd. Ashraf Mustaqim sebagai calon.

“Kami tidak merestui calon ini, sebaliknya kami lebih mesra dengan Abdul sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas,” katanya.

Sementara itu, menurut Setiausaha Bersatu Jerlun, Noorhazriza Noh, mereka berharap Ketua Bahagian Bersatu Jerlun dinamakan sebagai calon melihat kepada jasanya kepada parti termasuklah penubuhan Bersatu di Jerlun.

“Hargailah Abdul dan akar umbi yang bekerja keras menaikkan balik Bersatu. Apabila letak calon luar, ahli Bersatu tidak akan percaya dengan kepimpinan,” katanya.

Menurutnya, beliau melihat Bersatu akan kehilangan kepercayaan dan sokongan akar umbi sekiranya Mohd. Ashraf Mustaqim masih dikekalkan sebagai calon DUN Kota Siputeh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN