‘KUCAR hanyar’. Itulah gambaran yang diberikan pengundi di Terengganu yang bermaksud tidak berketentuan terhadap proses agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
Suasana tersebut berlaku apabila Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu tidak berpuas hati terhadap agihan kerusi PRN tersebut apabila DUN Tepuh yang didakwa merupakan milik parti itu direbut sesuka hati BN apabila mengumumkan kerusi berkenaan ditandingi calon mereka.
Malah kerusi DUN Bandar yang dikatakan masih dalam peringkat rundingan antara Amanah dan BN juga ‘dicantas’ lebih awal calon BN.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Ahad lalu dilaporkan berkata, dua kerusi di Terengganu itu masih dalam perundingan dengan BN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sebelum itu, Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad meluahkan kekecewaan terhadap BN apabila merampas kerusi DUN Tepuh yang sepatutnya diserahkan kepada parti itu.
Beliau memberitahu, kerusi tersebut merupakan milik Amanah selepas dipersetujui BN dalam Mesyuarat Sekretariat Perpaduan Terengganu pada Mei lalu.
Setakat ini, Amanah mengumumkan parti itu akan bertanding di Ru Rendang dengan mempertaruhkan Suhaimi Sulaiman dan DUN Batu Buruk, Mohamad Zamir Ghazali.
Pada masa sama, PKR pula bakal bertanding di tiga DUN di Terengganu iaitu Wakaf Mempelam dengan meletakkan calon, Wan Muhamad Haikal Wan Ghazali, Manir (Mohamad Jusoh) dan Sura (Othman Omar).
BN pula telah mengumumkan senarai calon yang bertanding di enam negeri dalam PRN itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 21 Julai lalu.
Kerusi DUN Tepoh akan ditandingi calon BN, Muhammad Hanafi Hasan dan DUN Bandar juga diletakkan calon BN, Armi Irzan Mohd.
Jumlah keseluruhan DUN yang akan ditanding BN di Terengganu ialah 27 kerusi DUN dan baki lima lagi kerusi diserahkan kepada PH.
Selain itu, pengundi di Parlimen Kuala Terengganu pula terkejut dengan tindakan BN yang menyerahkan kerusi tradisional BN kepada PKR untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung serentak dengan PRN pada 12 Ogos ini.
Bagaimanapun terdapat desas-desus yang mendakwa BN menyerahkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu kepada PH sebagai pertukaran dengan DUN Tepuh.
Selain itu terdapat juga dakwaan keputusan BN itu juga disebabkan parti tersebut tidak yakin untuk memenangi Parlimen tersebut yang dimenangi calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim dengan majoriti 40,907 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. – UTUSAN










