6 jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci

6 jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci

SYED Hamadah Syed Othman bersalaman dengan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia pulang ke tanah air di KLIA Sepang. - GAMBAR IHSAN TH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Lembaga Tabung Haji mengesahkan bahawa seramai enam orang jemaah haji Malaysia meninggal dunia sepanjang musim ibadah berkenaan di Tanah Suci kali ini.

Untuk itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah.

“Takziah kepada keluarga arwah jemaah terbabit dan kami mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat serta dikurniakan ganjaran syurga firdaus,” jelasnya kepada pemberita ketika menyambut kepulangan kumpulan pertama jemaah seramai 280 orang di terminal 1 KLIA, di sini malam tadi.

Pada tahun lalu, Malaysia cuma mencatatkan seorang jemaah haji berusia 62 tahun dan berasal dari Kuala Nerang, Kedah meninggal dunia di Hospital Raja Faisal, Mekah.

Pada tahun lepas, Malaysia hanya menghantar 14,306 orang jemaah namun untuk tahun ini, kuota rasmi kembali kepada asal dengan 31,600 orang dan tambahan lagi 350 orang.

Berdasarkan rekod agensi tersebut, seramai 10 orang jemaah Malaysia meninggal dunia ketika musim haji pada 2019 manakala tahun sebelumnya pula lebih tinggi iaitu 42 orang.

Malaysia tidak menghantar jemaah haji dari tanah air pada 2020 dan 2021 susulan Arab Saudi menutup sempadan ekoran kebimbangan penularan wabak Covid-19 ketika itu.

Mengulas lanjut, Syed Hamadah berkata, seramai 69 orang jemaah mendapat rawatan di Pusat Rawatan Tabung Haji di Mekah dan akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

“Kami akan mengadakan sesi pasca nilai atau post-mortem bagi meneliti secara terperinci perjalanan operasi musim haji pada kali ini bagi memperbaiki setiap kelemahan,” jelasnya.

Ujar beliau, ini termasuk maklum balas daripada kesemua 18 sektor operasi dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatan dan menambah baik pada musim berikutnya.

Tabung Haji tegasnya, sentiasa prihatin terhadap aspek kebajikan dan juga akan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan jemaah terbabit.

Sebanyak 98 penerbangan pulang ke tanah air sama ada menerusi pesawat Amal by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines disediakan secara berperingkat sehingga 31 Julai depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya