454 pelajar terima bantuan PTPTN-KPT Prihatin - Utusan Malaysia

454 pelajar terima bantuan PTPTN-KPT Prihatin

NORLIZA Abdul Rahim (belakang empat dari kiri) bersama pelajar yang menerima inisiatif Bantuan Pengajian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)-Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 454 pelajar yang kurang berkemampuan menerima inisiatif Bantuan Pengajian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)-Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atau PTPTN-KPT Prihatin bagi meringankan beban kewangan pelajar di Institut Pendidikan Tinggi (IPT).

Setiap pelajar yang layak menerima bantuan sebanyak RM500 secara one-off yang disalurkan ke dalam akaun bank pelajar, membabitkan peruntukan berjumlah RM227,000.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, perbadanan itu sudah mengadakan pelbagai program berimpak tinggi bagi membolehkan masyarakat terus mendapat bantuan sewajarnya.

Katanya, langkah itu selaras dengan usaha untuk meningkatkan akses pendidikan kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan pelajar di IPT.

“Jadikan bantuan ini sebagai pendorong untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai keputusan yang cemerlang sekali gus mendapat pekerjaan yang baik serta dapat mengubah nasib keluarga untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa,” katanya dalam kenyataan.

Seramai 163 pelajar yang kurang berkemampuan menerima Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin yang diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 16 Julai lepas, melibatkan sumbangan berjumlah RM81,500.

Selain itu, satu lagi penyampaian Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Shah Alam pada 18 Julai lepas, melibatkan bantuan kepada 291 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM145,500. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN