SIBU: Sebanyak 44 orang hilang tempat tinggal selepas rumah pekerja Kilang Borneo Wise Wood di Jalan Tanjung Kunyit di sini, yang diduduki mereka musnah dalam kebakaran hari ini.
Kesemua penghuni adalah 25 warga tempatan dan 19 warga asing yang merupakan pekerja kilang berkenaan.
Ketua Zon 4 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu, Andy Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran itu pada pukul 7.54 pagi dan menggerakkan BBP Sibu Sentral serta Balai Bantuan BBP Sungai Merah ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba melakukan pemadaman api dengan menggunakan satu pam angkut, dua aliran hos 200 kaki, satu cabang pembahagi dan tiga nozel dari sumber air terbuka (kolam). Kebakaran mengakibatkan 25 bilik kuarters pekerja kilang terbabit musnah dijilat api yang mana 24 daripadanya berpenghuni,” katanya hari ini.
Katanya, semua penghuni rumah itu dapat menyelamatkan diri dan kejadian tidak melibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN










