PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan perlu mengambil serius berhubung isu lebih 200 doktor gagal melapor diri atau menolak jawatan kontrak untuk berkhidmat di Sarawak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang doktor yang bertugas di salah sebuah hospital di Sarawak berkata, keadaan tersebut memburukkan sistem kesihatan memandangkan ada dalam kalangan doktor sedia ada yang ditempatkan di negeri itu meletak jawatan sekitar bulan ini.
Katanya, ia sekali gus memberi bebanan kepada pegawai perubatan yang masih ‘setia’ berkhidmat walaupun terpaksa mengorbankan separuh masa kehidupan untuk memberi rawatan kepada masyarakat di Sarawak.
Beliau yang enggan namanya disiarkan atas alasan pegawai kerajaan tidak boleh memberikan maklumat kepada media memberitahu, situasi doktor yang keluar dari sektor kerajaan adalah jauh lebih tinggi daripada sebelumnya terutama di Sabah dan Sarawak.
“Tiada siapa yang bersemangat untuk bekerja terlalu banyak dalam persekitaran yang kekurangan kakitangan dengan gaji rendah, sukar mengambil cuti untuk pulang melihat keluarga di Semenanjung.
“Walaupun dijanjikan tempoh dua tahun sebelum dibenarkan untuk memohon pertukaran, namun apabila tiba masanya permohonan itu tidak dapat diluluskan kerana kekurangan kakitangan,” katanya di sini semalam.
Beliau yang mahu dikenali sebagai Dr. K berkata, pihaknya tidak sekali-kali menyalahkan tindakan pegawai perubatan di Sarawak meletak jawatan kerana tidak ramai dalam kalangan muda sanggup mengorbankan kualiti hidup mereka kerja lebih banyak apatah lagi dengan bayaran tuntutan kerja lebih masa yang rendah.
Justeru katanya, KKM perlu menawarkan sesuatu yang lebih baik untuk meningkatkan bayaran atau menyediakan faedah kerja memadai dengan tugas golongan itu bagi menarik minat mereka.
“Siapa kita untuk menuntut mereka bekerja dan mengorbankan kualiti hidup, sedangkan kita tidak menaja mereka melalui sekolah perubatan?
“Meletakkan input minimum dan mengharapkan output maksimum daripada doktor dilihat oleh kebanyakan mereka sebagai satu tindakan eksploitasi. Itulah sebabnya mereka berhenti tanpa menoleh ke belakang.
“Jika kita benar-benar ingin menangani isu ini, kerajaan perlu membuat tawaran lebih baik untuk mereka. Bayaran RM9.16 sejam untuk tugas ‘on call’ pada hujung minggu tidak mencukupi,” katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni memberitahu, ada doktor yang gagal melapor diri atau menolak jawatan kontrak untuk berkhidmat di Sarawak.
Doktor itu antara 800 yang ditawarkan jawatan kontrak oleh Kementerian Kesihatan. –UTUSAN