12 suspek kes penyeludupan manusia di Manjung didakwa Selasa ini - Utusan Malaysia

12 suspek kes penyeludupan manusia di Manjung didakwa Selasa ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Siasatan melibatkan kes penyeludupan manusia melibatkan tangkapan 56 warga Indonesia serta lima lelaki tempatan di Segari dan Pulau Pangkor awal bulan ini, telah berjaya diselesaikan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, seramai 12 suspek telah dikenal pasti dalam kes tersebut.

“Kertas siasatan kes tersebut telah dirujuk kepada Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam (Kujaka), Jabatan Peguam Negara, Putrajaya,” katanya di sini.

Menurutnya, pihak Kujaka telah bersetuju untuk menuduh semua suspek di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau memberitahu, semua suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 25 Julai ini.

Awal bulan ini, media melaporkan polis menahan 35 warga asing dan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan manusia di Segari dan Sitiawan, dekat sini, pagi 30 Jun lalu.

Mohamed Nordin dilaporkan berkata, polis menerima maklumat daripada orang ramai mengenai sebuah bot terdampar di pesisir pantai Segari, dekat sini, bersama sekumpulan orang dipercayai warga Indonesia, pada pukul 9.45 pagi.

Hasil pencarian di kawasan kebun sawit di Segari, pasukan polis berjaya menjejaki 35 warga Indonesia tersebut yang terdiri daripada 24 lelaki, 10 perempuan serta seorang kanak-kanak yang bersembunyi di kebun tersebut.

Menurutnya, hasil siasatan awal daripada salah seorang warga Indonesia yang ditahan itu membolehkan polis menahan dua lelaki tempatan di sebuah restoran makanan laut di kawasan Kampung Baharu, Sitiawan.

Justeru, maklum beliau, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes penyeludupan manusia dan disiasat di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007 serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN