10 tahun sengsara harga getah RM1.50 sekilogra

10 tahun sengsara harga getah RM1.50 sekilogram

Lebih banyak kebun getah akan dibiarkan jika harga dan isu tiada pekerja tidak diselesaikan kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: “Hanya semangat sahaja yang masih ada untuk menoreh getah buat belanja barang dapur. Kalau nak diikutkan hati dengan harga getah beku/sekerap RM1.50 kilogram, sudah lama saya berhenti menoreh,” keluh warga emas Orang Asli etnik Semai, Tenunduk Busu, 60, di Kampung Simoi Baru, Pos Betau di sini semalam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tenunduk berkata, dia yang menoreh di kebun getah seluas 1.2 hektar milik sendiri tidak begitu selesa malah berdepan tekanan kewangan kerana hasil jualan komoditi itu rendah.

“Sengsaranya kehidupan ka­mi sejak lebih 10 tahun lalu setelah harga getah masih di takuk lama, mahu tidak mahu terpaksa juga menoreh kerana pekerjaan ini sahaja dilakukan sejak saya muda.

“Walaupun kebun saya luas, tetapi tidak semua pokok boleh ditoreh kerana kebanyakan usia (pokok) telah tua, kawasan semak-samun dan hasil susu tidak seberapa,” katanya di Kampung Simoi Baru di sini semalam.

Menurut Tenunduk, sekiranya tidak hujan, dia keluar pada pukul 6.30 pagi menunggang motosikal ke kebunnya sejauh tiga kilometer untuk menoreh.

Katanya, sambil menoreh, dia mengutip getah beku/sekerap dalam pot untuk dibawa pulang ke rumah dan dijemur sebelum dijual.

“Saya membawa pulang getah beku/sekerap seberat antara 35 hingga 40 kilogram kerana tidak mampu menoreh lebih banyak pokok lagipun susu semakin berkurangan disebabkan pokok tua dan cuaca panas,” katanya.

Warga emas itu berkata, dia cuma mengambil masa selama hampir tiga jam untuk menoreh dan kemudiannya mengutip getah beku/sekerap untuk dibawa pulang dengan motosikal.

“Cuba bayangkan dengan berbekalkan semangat dan kudrat saya diperah setiap kali menoreh, tetapi hanya dibayar RM1.50 sekilogram ketika getah beku/sekerap dijual,” katanya.

Tenunduk berkata, pembeli berlesen mengenakan kadar bayaran rendah berbanding harga ditetapkan kerajaan dengan alasan perjalanan jauh ke kawasan Ulu Jelai jauh dengan pusat pengumpulan berdekatan Sungai Koyan.

“Sekiranya dibawa sendiri ke pusat pengumpulan berkenaan kami cuma dibayar lebih RM2, tetapi bagi saya yang sudah berusia dan tidak ada lesen memandu, mana mampu hendak menunggang motosikal keluar dari kampung ini menghantar getah beku untuk di jual di luar.

“Sebulan purata dapat be­kerja menoreh antara lapan hingga 10 hari dengan pendapatan kurang daripada RM500 dan hari yang saya tidak ke kebun berikutan hujan pada waktu petang dan malam selain keada­an kesihatan saya sendiri tidak mampu bekerja kuat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya